PONTIAN – Konsep Rumah Bangsa dan Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera merupakan dua inisiatif berbeza dengan matlamat berlainan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Rumah Bangsa merupakan inisiatif dalaman UMNO yang bertujuan menyatukan semula ahli parti yang dipecat, digantung atau meninggalkan parti.
Sementara itu, jelasnya yang juga Ahli Parlimen Pontian, Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera pula melibatkan perbincangan antara parti-parti lain mengenai isu-isu Islam, Melayu dan bumiputera.
“Saya hadir Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang menghimpunkan parti politik berteraskan Islam, Melayu dan bumiputera yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 5 Mac lalu.
“Selain UMNO, tujuh lagi parti politik utama terbabit pertemuan itu iaitu Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Parti Ikatan Bangsa (Ikatan).
“Perbincangan dalam mesyuwarah melibatkan isu-isu ekonomi, industri halal, pendidikan, kemahiran bumiputera-Islam serta sokongan terhadap perjuangan Palestin,” katanya kepada pemberita selepas program ziarah Ramadan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian di sini, hari ini.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan tidak bersedia menyertai gagasan Rumah Bangsa yang ditawarkan oleh UMNO kerana disifatkannya sebagai struktur politik yang tidak selamat.
Abdul Hadi berkata, gagasan yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu diibaratkan seperti perlindungan yang rosak dan tidak mampu melindungi pihak yang berada di bawahnya. – MalaysiaGazette
















