Halimaton Saadiah Bohan

KUALA LUMPUR — Hasrat bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk kembali menyertai UMNO dialu-alukan oleh kepimpinan UMNO Bahagian Sungai Buloh sekiranya perkara itu menjadi kenyataan.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Sungai Buloh, Halimaton Saadiah Bohan berkata, pihaknya terbuka menerima kepulangan Khairy yang mesra disapa dengan panggilan KJ bagi memperkukuh perjuangan parti di bawah gagasan “Rumah Bangsa” yang diketengahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, perkara itu dizahirkan ketika beliau menghadiri Majlis Ihya’ Ramadan dan Iftar bersama KJ yang berlangsung di Kota Damansara dekat Sungai Buloh, semalam.

“Jika benar hasrat beliau untuk kembali kepada UMNO, kami di UMNO Bahagian Sungai Buloh amat mengalu-alukan kehadiran beliau di sini.

“Rumah Bangsa yang dicetuskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sentiasa terbuka kepada mereka yang ingin kembali memperkukuh perjuangan parti,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Sungai Buloh dengan kerjasama Westports Holdings Berhad dan Shopee Malaysia.

Pada majlis sama, lebih 100 golongan asnaf dari Cawangan Seksyen 7 dan Seksyen 8 turut menerima sumbangan barangan keperluan asas serta wang saku bagi membantu meringankan beban mereka sepanjang Ramadan.

Halimaton berkata, suasana majlis yang santai tetapi penuh makna itu berjaya menghimpunkan masyarakat setempat dalam semangat ukhuwah sempena bulan Ramadan.

Pada minggu lalu, selepas empat tahun dipecat, bekas Ketua Pemuda UMNO itu secara terbuka mengumumkan mahu kembali menyertai parti itu menerusi agenda Rumah Bangsa.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau menerusi petikan audio siar Keluar Sekejap turut mengarahkan setiausaha akhbarnya, Raja Syahrir Raja Abu Bakar membuat draf surat permohonan bagi tujuan berkenaan.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses berkenaan dengan segera melalui tatacara bersesuaian mengikut Perlembagaan UMNO.

Beliau juga berharap usaha itu dipermudah dan menjadi titik penyatuan yang memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan kelangsungan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air, selain memastikan masa depan lebih baik untuk rakyat dan negara.

Pada Januari 2023, UMNO dilaporkan memecat Khairy selain menggantung keahlian Ketua UMNO Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.

Turut digantung keahlian selama enam tahun, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Selain itu, lima ahli UMNO Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Putrajaya, dua ahli UMNO Tanjong Karang dan 26 ahli UMNO Pahang turut dipecat.

Antara kesalahan mereka ialah menjadi calon Bebas serta selain Barisan Nasional (BN) serta terbabit membantu parti lawan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast