KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menyelar tindakan Profesor Dr Tajuddin Rasdi yang melabelkan beliau sebagai liabiliti kepada politik negara.
Beliau berkata, tindakan ahli akademik itu dilihat lebih berminat menjadi ‘ketua hakim politik’ berbanding menjalankan tugas hakikinya.
Menerusi satu kenyataan balas, bekas Timbalan Presiden PKR itu mempersoalkan peranan Tajuddin sebagai ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN).
“Sepatutnya Tajuddin beri lebih tumpuan kepada usaha mengharmonikan hubungan kaum bukannya sibuk mencampuri urusan politik kepartian.
“Serangan bertali arus itu berpunca daripada rasa panik Tajuddin yang bimbang sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan DAP akan terjejas susulan kelantangan beliau bersuara,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Rafizi turut mempersoalkan kedudukan Tajuddin untuk menjatuhkan hukuman dengan melabelnya sebagai liailiti seolah-olah arena politik Malaysia ini milik peribadinya.
“Ikut Tajuddin ni, saya lebih teruk daripada semua ahli politik yang pernah ada. Kalau betul saya ini beban dan tidak ada siapa mahu dengar cakap saya, apa yang dia nak takutkan?
“Gaya hentam saya ini macam luar cakap lain, dalam rasa lain, macam ada hati yang bergelora sebab takut pandangan saya akan ada kesan kepada sokongan Pakatan Harapan (PH) dan DAP,” katanya lagi.
Rafizi turut mendakwa tindakan Tajuddin itu kerana takut hilang undi pada pilihan raya akan datang.
“Kalau boleh nak lenyapkan saya daripada muka bumi ini, PH takut hilang undi lebih-lebih lagi DAP. Saya dimaklumkan Tajuddin ini ahli DAP,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Rafizi turut mengingatkan Tajuddin mengenai jawatan yang disandangnya dalam MPPN dibayar menggunakan hasil cukai rakyat untuk tujuan yang lebih besar terutama ketika negara sedang berdepan dengan pelbagai isu ketegangan perkauman.
“Adalah satu kerugian jika perjuangan membina landskap politik baharu akhirnya hanya digunakan oleh individu tertentu untuk kepentingan politik sempit di luar skop kerja asal.
“Elaun awak (Tajuddin) dibayar oleh cukai rakyat bukan untuk awak komen pasal politik lebih-lebih tapi untuk mengharmonikan hubungan kaum di Malaysia.
“Sia-sia kami semua berjuang kalau yang itu pun awak tak boleh buat sebab sibuk komen politik di luar skop kerja awak,” tambahnya.
Jelas bekas Menteri Ekonomi ini lagi, sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam mengemudi jentera pilihan raya, Rafizi berkata, sokongan rakyat tidak ditentukan oleh kritikan individu, sebaliknya bergantung kepada integriti sesebuah parti itu sendiri.
“Kalau parti kita tak buat salah, orang kritik macam mana pun, Insya-Alla dapat undi. Kalau parti kita memang ada kelemahan, orang tak kritik pun rakyat tak undi,” katanya lagi.
Terdahulu, Tajuddin Rasdi dalam satu laporan berita mendakwa Rafizi kini bukan lagi aset kepada PH sebaliknya bertukar menjadi liabiliti bukan sahaja kepada gabungan itu tetapi juga kepada seluruh landskap politik Malaysia. – MalaysiaGazette
















