Mohammed Taufiq dan Mohd Noor Helmy menyantuni penerima bantuan selepas Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Melaka di Masjid Al-Abrar, Semabok, Melaka hari ini.

MELAKA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggesa 2,500  pertubuhan belia di seluruh negara merebut peluang memohon Geran Sejati MADANI sehingga RM100,000 melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM250 juta.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, geran itu bertujuan memperkasa pertubuhan agar lebih aktif dan mampu menjana projek ekonomi sendiri sekali gus meningkatkan keupayaan organisasi di peringkat akar umbi.

Mohammed Taufiq menyantuni penerima bantuan selepas Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Melaka di Masjid Al-Abrar, Semabok, Melaka hari ini.

“Geran RM100,000 ini kita harapkan dapat membantu pertubuhan belia membangunkan projek masing-masing.

“Malah kalau boleh, daripada RM100,000 itu mereka mampu berkembang menjadi RM500,000 atau lebih melalui aktiviti keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Melaka di Masjid Al-Abrar, Semabok di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Mohammed Taufiq Johari

Mengulas lanjut, Mohammed Taufiq berkata, jika setiap pertubuhan menerima RM100,000, dianggarkan sekitar 2,500 pertubuhan belia boleh memanfaatkan geran berjumlah RM250 juta itu sepanjang tahun ini.

“Sebelum ini Geran Sejati MADANI hanya diberikan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan ketua kampung.

“Namun kini diperluaskan kepada pertubuhan belia kerana golongan muda dilihat lebih berfikiran keusahawanan,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua masjid di seluruh negara meneruskan pelbagai program pembangunan belia yang telah dilaksanakan menerusi inisiatif kementerian itu.

Menurutnya, antara program yang dilaksanakan termasuk tadarus al-Quran, program kepimpinan serta penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf dan pelajar cemerlang.

Ditanya mengenai potensi pembangunan belia di Duyong, beliau berkata, kawasan berkenaan mempunyai populasi anak muda yang tinggi sekali gus memerlukan lebih banyak fasiliti serta platform aktiviti.

“Saya akan berbincang dengan Yang Berhormat kawasan dan juga Exco Belia negeri untuk melihat fasiliti yang boleh dijadikan medium kepada anak muda di kawasan ini.

“Yang penting adalah pengaktifan pertubuhan belia di Duyong dan di Melaka secara keseluruhannya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast