KUALA LUMPUR – Mulai April 2026, Mesyuarat Konsultasi Datuk Bandar yang diadakan sekali setiap bulan akan dilaksanakan dengan pendekatan baharu.
Mesyuarat ini akan diadakan terus di kawasan Parlimen masing-masing, dipengerusikan oleh Pengarah Eksekutif sebagai wakil Datuk Bandar dan dipengerusikan bersama oleh ahli Parlimen kawasan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pendekatan ini akan memperkukuhkan peranan Pejabat Cawangan DBKL di setiap kawasan Parlimen serta membawa keupayaan dan sumber ibu pejabat terus ke
lapangan supaya isu dapat dilihat, difahami dan diselesaikan dengan lebih pantas.
“Agensi dan pemegang taruh berkaitan juga akan dijemput supaya setiap isu dapat dibincangkan secara lebih terselaras dan penyelesaian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, pendekatan itu dicapai selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Menteri yang dihadiri oleh
pengurusan kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Ahli-Ahli Parlimen Kuala Lumpur bagi membincangkan dasar dan isu berkaitan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.
Hannah berkata, fokus utama mereka memastikan masalah rakyat diselesaikan di peringkat komuniti, bukan sekadar dibincangkan di ibu pejabat.
Jelasnya, pentadbiran bandar tidak boleh jauh daripada realiti di lapangan.
“Dengan pendekatan ini, DBKL akan lebih dekat dengan komuniti supaya isu rakyat dapat ditangani dengan lebih cepat, tepat dan berkesan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















