Datuk Mohd Ridhwan Othman.

JOHOR BAHRU – Pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) jika mahu diadakan serentak memerlukan reformasi dasar bagi memastikan proses demokrasi berkesan dan mencapai matlamatnya.

Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaysia Bersatu (Perimau), Datuk Mohd Ridhwan Othman berkata, beberapa reformasi dasar perlu diperkenalkan iaitu penetapan tarikh tetap pilihan raya serta jaminan ruang kempen yang seimbang antara isu negeri dan Persekutuan.

Menurut beliau, langkah itu penting agar demokrasi tempatan dan sistem Persekutuan kekal bermakna kepada rakyat dalam membuat pilihan.

Dalam masa sama, beliau mengakui dan menyokong PRU dan PRN yang diadakan serentak dapat menjimatkan kos serta meningkatkan kecekapan pentadbiran negara.

Katanya, pelaksanaan pilihan raya secara serentak itu juga berpotensi memberi manfaat besar kepada negara khususnya dari segi kos, kemudahan kepada pengundi serta kecekapan pentadbiran.

“Namun, pada masa yang sama, ia juga berpotensi melemahkan fokus terhadap isu negeri dan Persekutuan serta semangat federalisme,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Ridhwan menjelaskan, pelaksanaan PRU dan PRN secara serentak mempunyai dua faktor utama iaitu manfaat praktikal kepada rakyat dan kerajaan, serta risiko terhadap kualiti demokrasi dan tahap kebertanggungjawaban kerajaan.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menganggarkan kos PRN enam negeri pada Ogos 2023 sekitar RM420 juta. Jumlah itu boleh dikurangkan hampir separuh sekiranya pilihan raya dijalankan secara serentak, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi negara ketika ini,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan pilihan raya serentak juga mampu mengurangkan gangguan berulang terhadap pentadbiran awam, keselamatan dan aktiviti ekonomi kerana rakyat serta institusi hanya perlu melalui satu fasa pilihan raya dalam satu tempoh.

“Langkah tersebut turut memudahkan pengundi luar kawasan kerana mereka hanya perlu pulang sekali sahaja untuk mengundi,” katanya.

Dari sudut politik, beliau berkata, pilihan raya serentak boleh mewujudkan kestabilan jangka sederhana kerana kerajaan Persekutuan dan negeri akan mempunyai tempoh mandat yang selaras.

“Ini membolehkan dasar ekonomi dan sosial diselaraskan dengan lebih efektif,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Ridhwan turut mengingatkan bahawa daripada perspektif demokrasi, keadaan itu juga boleh mengurangkan tahap akauntabiliti kerajaan negeri dan Persekutuan kerana prestasi mereka tidak lagi dinilai secara berasingan oleh pengundi.

Selain itu, beliau berkata, isu teknikal dan perundangan juga boleh timbul memandangkan tempoh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak seragam di setiap negeri.

Beliau turut menegaskan bahawa pengundi yang tinggal di luar kawasan berkemungkinan terpaksa pulang dua kali sekiranya pilihan raya diadakan secara berasingan, sekali gus menimbulkan keletihan politik dalam kalangan rakyat.

“Pilihan raya perlu diadakan serentak bagi memastikan masa dan tenaga rakyat tidak dibazirkan dengan perkara yang remeh, lebih-lebih lagi dalam keadaan cabaran ekonomi semasa serta keperluan menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau menambah bahawa sistem pilihan raya yang baik akan memastikan rakyat bebas memilih pemimpin yang mereka percaya mempunyai integriti serta mampu membawa kestabilan politik kepada negara.

“Rakyat berhak memilih kerajaan yang mereka suka demi kebajikan mereka. Pada masa sama, pemimpin yang tidak lagi mendapat sokongan boleh digulingkan melalui pilihan raya.

“Ini juga mampu mengelakkan negara daripada dikuasai oleh pemimpin yang mempunyai kuasa mutlak serta mengangkat nilai-nilai demokrasi demi generasi masa kini dan akan datang,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast