Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), sedang memantau secara rapi perkembangan
semasa krisis geopolitik di Asia Barat, khususnya susulan penutupan laluan Teluk Hormuz oleh Iran pada 2 Mac 2026 yang telah memberi kesan kepada pasaran tenaga global.

Walau bagaimanapun, perkembangan ini tidak menjejaskan tahap ketersediaan dan jaminan bekalan elektrik negara pada masa ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sistem penjanaan elektrik di Semenanjung menggunakan sekitar 40% hingga 45% gas asli sebagai bahan api utama dan sebahagian besar bekalan gas tersebut diperoleh daripada sumber gas domestik di Kerteh serta kawasan pembangunan bersama Kawasan Pembangunan Bersama Thailand–Malaysia (JDA).

Sehubungan itu, katanya, bekalan gas dalam negara pada masa ini adalah stabil dan mencukupi untuk menampung operasi
loji jana kuasa.

Mengulas mengenai tarif elektrik, Fadillah yang juga Menteri PeralihanTenaga dan Transformasi Air berkata, melalui kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) di bawah tempoh Kawal Selia Keempat (Regulatory Period 4 – RP4) dari tahun 2025 hingga 2027, kerajaan komited melindungi kebajikan pengguna daripada impak kenaikan kos bahan api global.

Menurutnya, sebarang perubahan kos bahan api seperti gas dan arang batu akan diselaraskan melalui mekanisme penyelarasan automatik minyak (AFA) pada setiap bulan berdasarkan pergerakan kos bahan api sebenar di pasaran.

“Pada masa ini, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tidak melebihi 600 kWj sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada pelarasan kos bahan api.

“Justeru, sekitar 85% pengguna domestik di seluruh negara tidak akan terkesan dengan turun naik harga bahan api di
pasaran antarabangsa, sekali gus memberikan kestabilan kepada perbelanjaan isi rumah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Berdasarkan perkembangan semasa, kadar AFA diunjurkan kekal dalam keadaan rebat sehingga April 2026.

Tetapi, sekiranya kos bahan api global terus meningkat dan ketegangan di Asia Barat berlarutan, kadar AFA berpotensi untuk berubah pada bulan-bulan berikutnya.

Sejak Julai 2025, tampungan subsidi yang telah diberikan oleh Kerajaan adalah berjumlah RM2,506 juta yang disalurkan kepada
pengguna melalui rebat bil elektrik sebagai insentif cekap tenaga.

Bagi memastikan perlindungan yang berterusan, kerajaan juga sedang meneliti langkah mitigasi tambahan sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan sehingga memberi tekanan melampau kepada kos bahan api.

Fadillah berkata, kementeriannya akan terus bertindak proaktif dalam mengimbangi keterjaminan tenaga dalam negara dengan keupayaan ekonomi pengguna agar tarif elektrik kekal pada kadar yang munasabah.

Sebagai langkah kebersamaan dalam mendepani situasi semasa, pengguna digalakkan untuk terus mengamalkan penggunaan elektrik secara cekap dan berhemah.

Amalan jimat elektrik bukan sahaja membantu mengurangkan komitmen bil bulanan individu, malah ia merupakan sumbangan besar rakyat dalam memperkukuh kelestarian sistem tenaga negara, ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast