Tangkap layar kes caj parkir tidak munasabah yang tular di dalam media sosial.

MELAKA – Kerajaan negeri mengarahkan siasatan segera berhubung dakwaan seorang pengguna dikenakan caj parkir sebanyak RM183.38 ketika keluar dari kawasan parkir di Pasar Borong Melaka yang tular sejak semalam.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, penjelasan awal daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapati kemungkinan berlaku kesilapan pada sistem parkir yang dikendalikan pihak operator di bawah pentadbiran PBT Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

“Saya sudah semak dengan MPHTJ dan difahamkan kes ini sedang diteliti kerana ada kemungkinan berlaku kesilapan daripada pihak yang menguruskan sistem parkir berkenaan.

“Sekiranya siasatan mendapati ada berlaku kesilapan, bayaran tersebut sudah tentu akan dipulangkan semula kepada individu yang terlibat,” katanya.

Rais Yasin

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Glam Bazar Ramadan Klebang 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Klebang di sini, malam tadi.

Sejak semalam, tular perkongsian seorang wanita mendakwa dikenakan caj parkir sebanyak RM183.38 ketika cuba keluar dari kawasan parkir Pasar Borong Melaka pada awal pagi Sabtu lalu.

Wanita berkenaan mendakwa, dia pada mulanya menggunakan kad bank milik suaminya untuk keluar dari parkir, namun sistem memaparkan caj RM2.12 sebelum menjadi ‘invalid’.

Menurutnya, selepas diminta kakitangan parkir menggunakan kad lain, dia melakukan transaksi sama dengan kad miliknya sebelum sistem memaparkan caj RM183.38 yang kemudiannya ditolak daripada akaun bank.

Wanita itu turut mendakwa beberapa kenderaan lain ketika itu berdepan masalah sama dan mendakwa pernah berlaku beberapa kes serupa sebelum ini, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan masalah pada sistem parkir di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Rais berkata, walaupun kes itu mungkin terpencil, namun kerajaan negeri tetap memandang serius bagi memastikan ia tidak berulang.

“Saya difahamkan ada beberapa kes kecil seperti ini pernah berlaku sebelum ini namun kita kita akan pastikan ia diselesaikan dengan baik.

“Secara logiknya caj RM183 memang tidak munasabah, jadi kita akan pastikan perkara ini diteliti dan diperbetulkan,” tegasnya lagi.

Dalam masa sama, beliau berkata, sistem parkir di kawasan di bawah pentadbiran PBT biasanya ditenderkan kepada syarikat pengendali, sekali gus memungkinkan terdapat perbezaan dari segi sistem yang digunakan.

“Perkara ini akan turut dibincangkan dalam mesyuarat pasca-Exco bagi melihat kaedah penyelarasan sistem parkir di negeri ini,”katanya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast