Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

KUALA LUMPUR – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa memelihara keharmonian yang telah lama menjadi kekuatan negara ini.

Menurutnya, dalam suasana dunia yang semakin mencabar, rakyat tidak boleh membiarkan isu sensitif berkaitan agama, kaum dan institusi diraja, termasuk sentimen rasisme, meretakkan hubungan yang telah dibina bersama sejak sekian lama.

“Malaysia berdiri teguh kerana kepelbagaian rakyatnya.

“Kita lebih kuat bila kita bersama.

“Bersama untuk saling memahami, bersama untuk menghormati, bersama untuk menerima, dan bersama untuk meraikan perbezaan yang menjadikan negara ini unik dan istimewa,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Foto: FB Aaron Ago Dagang

Tambah beliau, sekiranya wujud perbezaan pandangan, ruang dialog dan meja rundingan sentiasa tersedia untuk semua.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat menggunakan ruang itu dengan kebijaksanaan dan kematangan, bukan dengan emosi.

“Marilah kita memilih jalan kebijaksanaan, menolak kebencian, dan terus memelihara semangat kebersamaan.

“Kerana Malaysia adalah rumah kita bersama, yang kita bina, jaga dan wariskan kepada generasi akan datang.

“Ingat, kita lebih kuat bila kita bersama!” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast