JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta kerajaan negeri Johor digesa melakukan semakan menyeluruh terhadap mekanisme pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ).
Ahli Majlis Pimpinan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Mohd Hisyam Che Husin berkata, sistem penyelarasan data penerima perlu diperketatkan dan diselaraskan antara agensi supaya tiada pertindihan bantuan berlaku.
Jelasnya, langkah berkenaan juga bagi memastikan setiap bantuan yang diperuntukkan benar-benar sampai kepada rakyat yang layak.
“Pejuang Johor juga mencadangkan kerajaan negeri meneliti pendekatan yang lebih sistematik seperti model bantuan bersasar digunakan dalam Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang mempunyai pangkalan data penerima lebih tersusun, proses pengesahan lebih jelas serta mekanisme semakan yang lebih telus.
“Kerajaan negeri tidak boleh sekadar mengumumkan bantuan sebagai angka kejayaan pentadbiran tanpa memastikan ketelusan pelaksanaannya di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bantuan kepada rakyat adalah amanah dan mesti diurus dengan penuh integriti agar benar-benar memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan, bukannya menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat Johor.
Tambah beliau, pihaknya juga memandang serius dakwaan bahawa pemberian BKJ tidak dilaksanakan secara telus dan berkesan.
Jelasnya, terdapat contoh di lapangan yang menunjukkan seorang individu boleh menerima bantuan melalui lebih daripada satu kategori seperti seorang pesara tentera yang turut memegang jawatan Ketua Blok Felda dan pada masa sama menerima bantuan melalui pendaftaran di Jabatan Pertanian.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan sistem semakan dan penyelarasan data dalam agihan bantuan kerajaan negeri.
“Situasi seperti ini bukan sahaja menimbulkan keraguan terhadap ketelusan sistem pengagihan bantuan, malah membuka ruang kepada pertindihan penerimaan bantuan yang sepatutnya dapat disalurkan kepada golongan lain yang lebih memerlukan,” katanya.
Lebih membimbangkan, tambah beliau, terdapat pandangan dalam kalangan rakyat yang melihat bantuan itu seolah-olah bersifat ‘pilih kasih’.
“Persepsi sebegini amat merugikan imej pentadbiran kerajaan negeri kerana bantuan kebajikan sepatutnya diberikan secara adil, telus dan bebas daripada sebarang unsur kepentingan politik,” katanya. – MalaysiaGazette
















