Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menunjukkan suspek yang ditangkap dalam kes insiden khianat dan ugutan jenayah di kawasan Taman Kinrara, Puchong ketika di Ibu Pejabat Polis kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 16 MAC 2026.

SHAH ALAM – Polis menahan 12 individu termasuk seorang wanita serta seorang perancang utama warga tempatan bagi membantu siasatan kes khianat dan ugutan jenayah yang berlaku di kawasan perumahan di Taman Kinrara, Puchong pada 9 dan 10 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua 12 individu yang berumur di antara 30 hingga 40 tahun itu ditahan menerusi beberapa serbuan di sekitar kawasan Banting, Subang dan Serdang pada 12 hingga 15 Mac lalu.

“Operasi bersepadu itu melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Polis Kontinjen Selangor serta bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

“Siasatan, risikan dan operasi khas dijalankan susulan dua laporan yang telah diterima pihak polis hingga tertangkapnya 12 individu tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar bercakap kepada media mengenai kejayaan menangkap suspek kes insiden khianat dan ugutan jenayah di kawasan Taman Kinrara, Puchong ketika di Ibu Pejabat Polis kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 16 MAC 2026.

Shazeli juga mengesahkan tujuh dari 12 individu yang ditahan itu mempunyai kaitan langsung dengan kes khianat dan ugutan jenayah itu.

“Tujuh suspek tersebut masih ditahan bagi membantu siasatan sehingga kini, manakala lima suspek lain telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Antara suspek yang berjaya ditangkap oleh pihak polis dalam kes insiden khianat dan ugutan jenayah di kawasan Taman Kinrara, Puchong ketika di Ibu Pejabat Polis kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 16 MAC 2026.

Beliau juga berkata, semakan awal mendapati lima dari tujuh suspek yang masih ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan pelbagai kes jenayah.

“Ujian awal saringan air kencing turut diambil ke atas ke semua tangkapan dan mendapati negatif daripada sebarang dadah,” katanya.

Selain itu, Shazeli berkata, polis turut merampas tiga kereta yang digunakan suspek dalam insiden tersebut termasuk Toyota Vios berwarna jingga, Honda City berwarna putih dan Nissan Almera berwarna kelabu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menunjukkan suspek yang ditangkap dalam kes insiden khianat dan ugutan jenayah di kawasan Taman Kinrara, Puchong ketika di Ibu Pejabat Polis kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 16 MAC 2026.

“Polis juga menyita dua motosikal jenis Honda Wave berwarna hitam dan Yamaha Y16 berwarna kelabu yang dipercayai telah digunakan semasa kejadian tersebut.

“Turut dirampas 14 telefon bimbit berjenama pelbagai jenis, sebiji topi keledar serta beberapa pakaian yang dipakai oleh suspek,” katanya.

Ditanya tentang motif kes khianat dan ugutan jenayah itu, Shazeli berkata hasil siasatan yang dijalankan pihaknya mendapati berpunca daripada rasa tidak puas hati dan terguris perasaan.

“Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

“Ia bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian tersebut,” katanya.

Tambahnya, orang ramai diingatkan untuk memberikan ruang bagi memastikan proses perundangan berjalan dengan lancar dan tidak membuat sebarang spekulasi serta provokasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Saya menyeru masyarakat supaya lebih berhati-hati semasa membuat sebarang komen atau kenyataan di media sosial sehingga boleh menimbulkan rasa tidak puas hati atau mengguris perasaan mana-mana pihak,” katanya.

Terdahulu, seorang aktivis, S. Chandrasegaran, 47, yang lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Chandra’ mendakwa menjadi sasaran serangan berulang kali di kediamannya di Taman Kinrara.

Dalam kejadian terbaharu awal bulan ini, mangsa mendakwa, dua lelaki tidak dikenali dipercayai membuka pagar rumahnya kira-kira pukul 3.30 petang, sebelum bertindak memecahkan cermin belakang kereta Perodua Viva miliknya serta merosakkan jeriji besi di bahagian hadapan kediaman.

Tambahnya, gangguan terhadap keluarganya tidak berakhir di situ apabila sekumpulan individu dipercayai datang semula ke rumahnya kira-kira pukul 3.20 pagi.

Ujarnya, individu itu dipercayai bertindak membaling objek disyaki bom petrol ke arah kediamannya mengakibatkan sebuah kenderaan jenis Suzuki Ertiga miliknya musnah sepenuhnya akibat terbakar.

Kejadian itu turut menyebabkan dua lagi kenderaan iaitu Perodua Viva dan sebuah lagi kereta turut mengalami kerosakan akibat kebakaran tersebut. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast