PUTRAJAYA – Empat individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi sehingga mencetuskan perdebatan berkait agama dan perkauman akan didakwa di Mahkamah Majistrest secara berasingan esok.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kertas siasatan telah selesai dan sudah dirujuk secara berasingan kepada Pejabat Peguam Negara serta Pengarah Pendakwaan Negeri selaras dengan Perkara 145(3) Perlembangaan Persekutuan.
Katanya, antara individu terlibat adalah Zamri Vinoth yang akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur berhubung kenyataan penganjuran perhimpunan di perkarangan Kompleks Sogo pada 7 Februari lalu
“Dia akan dituduh di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, individu itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Tamim Dhari juga akan didakwa di Mahkamah Majistet Langkawi, Kedah berhubung tindakan merosakkan Soolam yang menjadi simbol suci agama Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswara, mengikut Seksyen 259 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.
Selain itu, katanya, turut didakwa P. Mahendran Bhoopathy akan didakwa di Mahkamah Majisret Seremban, Negeri Sembilan dan seorang lagi individu, D. Arumugam pula didakwa di Mahkamah Majistet Jawi, Pulau Pinang.
Dalam perkembangan sama, Mohd Khalid berkata, pihaknya sudah mempunyai maklumat risikan bahawa Tamim yang juga aktivitis itu dipercayai telah meninggalkan negara ini dan berada negara jiran.
“Kita ada maklumat awal risikan dan sebagainya bahawa dia telah keluar ke negara jiran iaitu Thailand. Dari sana kita masih belum pasti dia berada di mana dan maklumat lanjut sedang diperoleh,” ujarnya.
Bagaimanapun polis akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran sekiranya diperlukan bagi memastikan individu terlibat dibawa pulang untuk didakwa di mahkamah.
Bagaimapun usaha untuk membawa pulang Tamim akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak penguat kuasa Thailand bagi memastikan individu itu hadir dalam pertuduhan yang dihadapinya.
Tambah Mohd Khalid, pihak polis mempunyai maklumat awal mengenai pergerakan Zamri dan percaya individu itu dipercayai berada di negara ini.
“Kita ada maklumat awal hari tu (Zamri), saya percaya mungkin dia berada di negara kita dan setakat ini, kita mendapat kerjasama yang baik daripada individu berkenaan,” jelasnya.
Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam. – MalaysiaGazette
















