M Kulasegaran (kanan) mengiringi Arun sewaktu tiba di pekarangan bangunan Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Alasan ‘sekadar singgah’ yang diberikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran di mahkamah hari ini bersama aktivis, Arun Dorasamy disifatkan tidak munasabah.

Sebaliknya, tindakan beliau telah mencalar integriti institusi kehakiman.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, penjelasan Kulasegaran bukan sahaja lemah, tetapi juga memperlihatkan sikap sambil lewa terhadap prinsip pemisahan kuasa dalam negara.

Danish Hairudin
Danish Hairudin

Danish berkata, jawapan ‘sambil lewa’ Kulasegaran itu ketika negara berdepan dengan isu berkaitan keharmonian sangat mengecewakan.

“Sebagai anggota pentadbiran yang menjaga hal ehwal undang-undang, beliau sepatutnya mempertahankan kebebasan sistem kehakiman, bukannya meletakkan diri dalam situasi yang menimbulkan persepsi campur tangan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, isu tersebut bukan perkara kecil kerana ia menyentuh tahap keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan.

Tambahnya, alasan sekadar singgah juga dilihat menghina kebijaksanaan rakyat yang memahami bahawa setiap tindakan pemimpin kerajaan membawa implikasi besar.

Dalam masa sama, Danish menyifatkan kegagalan Kulasegaran untuk segera mengakui kesilapan dan mengambil tanggungjawab sebagai satu bentuk keangkuhan politik yang tidak selari dengan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kulasegaran segera memohon maaf secara terbuka kepada rakyat serta mengambil tanggungjawab penuh terhadap tindakannya.

“Dalam keadaan ini, mempertimbangkan kedudukan beliau dalam kerajaan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan bagi memulihkan keyakinan rakyat,” katanya.

Kehadiran Kulasegaran yang menemani Arun Doramasamy di Mahkamah Majistret pagi ini mencetuskan persoalan kepada rakyat.

Apatah lagi kedudukannya dalam kerajaan yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal undang-undang dan reformasi institusi.

Mengulas perkara itu, Kulasegaran dilaporkan menjelaskan, beliau hanya “singgah” di lokasi berkenaan dan menafikan sebarang bentuk campur tangan terhadap proses mahkamah.

Bagaimanapun, penjelasan tersebut tidak meredakan kritikan, malah mencetuskan reaksi pelbagai pihak yang mempersoalkan kesesuaian tindakan seorang anggota pentadbiran kerajaan berada dalam situasi sedemikian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Apa pun alasan..perkara sudah berlaku..Pihak berkuasa yg bertanggungjawab yg perlu menjelaskan kenapa timbul keadaan dlm dua situasi..Adakah kewibawaan terluntur atau sebenarnya takut…Jadikan kebiasaan majoriti jadi tikus, minoriti berkuasa…

Comments are closed.