KAJANG – Bukan sekadar syukur yang dilafazkan, malah banduan-banduan yang terpilih mengikuti program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) pagi ini turut berazam untuk tidak mengulangi kesilapan lampau demi memulakan hidup baharu bersama keluarga tersayang.
Salah seorang Orang Bebas Berlesen (OBB) yang terpilih pada program kali ini, Badrul (bukan nama sebenar), meluahkan rasa tidak sabar untuk pulang ke pangkuan keluarga bagi meraikan Aidilfitri selepas empat bulan terpisah dek tirai besi.
Tambahan pula menurut lelaki berusia 50 tahun itu, dia memiliki seorang anak autisme yang sangat memerlukan kasih sayang dan kehadiran seorang ayah.
“Saya bersyukur sangat, anak saya selalu bertanya soal keberadaan saya kerana saya yang sering jaga dia, jadinya saya gembira kerana dapat pulang dan kembali menjaganya,” katanya semasa program PBLS Ihsan Madani di Penjara Kajang, hari ini.

Sementara itu, Abu (bukan nama sebenar), berkata dia tidak sabar untuk kembali ke pangkuan keluarga seminggu sebelum Aidilfitri.
Apatah lagi lelaki yang berusia 35 tahun itu baharu sahaja berkahwin.
“Terima kasih banyak-banyak kepada pihak penjara yang dimana bagi saya terpilih. Saya terpilih untuk beraya, lagi-lagi dapat beraya di luar bersama-sama dengan keluarga,” katanya ketika ditemui semasa program PBSL di Penjara Kajang, hari ini.

Dalam pada itu, majikan sebuah kedai tayar, Nor Asyikin Abdul Jalil, 30, berkata, beliau amat menggalakkan penglibatan OBB untuk bekerja di premisnya.

Menurutnya, terdapat dalam kalangan OBB ini yang memiliki kemahiran relevan dengan keperluan industri perkilangan, selain mempunyai pelbagai kepakaran yang boleh dimanfaatkan.
“Melalui program ini, kita dapat bekalan tenaga kerja berkemahiran daripada pihak penjara untuk dimanfaatkan bagi memenuhi keperluan industri perniagaan dan perkilangan,” ujarnya.
Program PBSL Ihsan Madani ialah inisiatif Jabatan Penjara Malaysia untuk membebaskan banduan terpilih yang layak lebih awal, bagi menjalani pemulihan dalam komuniti bersama keluarga.
Program tersebut bertujuan menyokong reintegrasi sosial, mengurangkan kesesakan penjara, dan menurunkan kadar residivis (jenayah berulang). -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















