KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir bekas pemimpin UMNO yang memberi syarat agar parti Melayu itu menamatkan kerjasama dengan DAP sebelum menerima Rumah Bangsa hanya alasan untuk terus mengkritik parti itu dari luar.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menegaskan, persepsi dangkal itu dimainkan mereka yang kini bersama pembangkang hanya menyebabkan UMNO teruk dikecam banyak pihak.
“Ada satu dua pihak lain yang melabelkan UMNO dengan begitu teruk sekali.
“Saya percaya mereka ini hanya menggunakan itu sebagai satu daripada alasan untuk mengkritik dan terus menghentam UMNO dari luar,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas Majlis Moreh Bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor di Hotel Seri Pacific, di sini, tengah malam tadi.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar sedia untuk kembali ke pangkuan UMNO bagi menyokong inisiatif Rumah Bangsa sekiranya parti melayu itu memutuskan hubungan kerjasama dengan DAP.
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu berkata, jika benar parti itu mahu membangunkan Rumah Bangsa, ia boleh dilaksanakan tanpa perlu menjalinkan kerjasama dengan berkenaan.
Megat Zulkarnain juga berkata, pihaknya tidak akan putus ada untuk mendekati dan memberi kefahaman tentang keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bagi mengikis dakwaan parti itu mempunyai kerjasama rapat dengan DAP.
“Kita tiada suatu kerjasama yang terus dengan DAP, melainkan atas semangat Kerajaan Perpaduan antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) ketika menubuhkan Kerajaan Persekutuan.
“BN kini dianggotai UMNO, MCA, MIC, UPKO serta sekarang ini sudah ada PPP dan Friends of BN. Tak timbul soal ada hubungan kerjasama yang terus (DAP). Saya fikir itu mungkin digunakan sebagai satu alasan.
“Tapi tak apa. Yang penting ialah kita akan terus menyantuni mereka ini yang masih lagi rasa keliru akan keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















