LONDON – Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC dikenakan tindakan disiplin oleh Liga Perdana Inggeris susulan siasatan terhadap beberapa transaksi kewangan yang berlaku ketika era pemilikan Roman Abramovich.
The Guardian melaporkan, kelab itu dikenakan denda sebanyak £10.75 juta (RM42.17 juta) serta hukuman larangan perpindahan pemain selama satu jendela perpindahan, namun hukuman tersebut digantung selama dua tahun.
Ini bermakna Chelsea masih boleh menjalankan aktiviti perpindahan seperti biasa buat masa ini.
“Bagaimanapun, larangan tersebut akan diaktifkan sekiranya kelab itu melakukan pelanggaran peraturan sekali lagi dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Selain itu, Chelsea turut dikenakan larangan selama sembilan bulan untuk mendaftarkan pemain akademi baharu dari kelab England lain, satu hukuman yang berkuat kuasa serta-merta,” kata laporan itu.
Pada masa sama, siasatan mendapati terdapat beberapa pembayaran rahsia kepada pemain, ejen dan pihak ketiga yang tidak dilaporkan kepada pihak liga antara tahun 2011 hingga 2018.
Transaksi tersebut dipercayai berkait dengan beberapa perpindahan pemain terkenal Chelsea ketika itu termasuk pemain seperti Eden Hazard, Willian Borges da Silva dan Samuel Eto’o.
Difahamkan, pemilik baharu Chelsea di bawah Todd Boehly dan konsortium Clearlake Capital telah melaporkan sendiri isu tersebut kepada pihak liga pada tahun 2022 selepas mengambil alih kelab.
Kerjasama penuh yang diberikan dalam siasatan menjadi faktor utama mengapa Chelsea tidak dikenakan potongan mata dalam liga selain hukuman larangan penggantungan yang hanya bersifat bersyarat.
Kes ini sekali lagi membuka semula perbincangan mengenai pengurusan kewangan kelab bola sepak Eropah dan kepentingan ketelusan dalam urusan perpindahan pemain. – Agensi
















