SERDANG – Tumbuhan liar yang dikenali sebagai cucur atap atau nama saintifiknya baekea frutescens berpotensi menjadi sumber bahan anti-kanser semula jadi selepas kajian makmal mendapati ekstraknya mampu membunuh sel kanser payudara.
Pensyarah Kanan, Jabatan Anatomi Manusia, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Sandra Maniam berkata, penemuan tersebut bermula daripada kajian awal yang pada asalnya bertujuan menilai potensi tumbuhan itu dalam mengurangkan penyerapan gula dalam badan.
“Pendekatan tersebut berkait rapat dengan strategi merencatkan pertumbuhan sel kanser melalui pengurangan bekalan tenaga kepada sel tersebut.
Namun hasil ujian awal menunjukkan sesuatu yang lebih menarik apabila ekstrak tumbuhan itu didapati mampu membunuh sel kanser payudara yang sensitif terhadap hormon estrogen,” katanya.
Tambah beliau, penemuan itu membuka ruang baharu dalam penyelidikan tumbuhan tempatan sebagai sumber bahan anti-kanser semula jadi yang berpotensi.

“Berbanding beberapa herba tempatan yang telah lama dikaji seperti mas cotek (Ficus deltoidea), Hempedu Bumi (Andrographis paniculata), dan misai kucing (Orthosiphon aristatus), potensi cucur atap masih kurang diterokai dalam bidang bioperubatan,” katanya.
Dr. Sandra berkata, kajian makmal menggunakan sel kanser payudara jenis MCF-7 menunjukkan ekstrak tidak polar daripada tumbuhan tersebut mempunyai aktiviti sitotoksik yang signifikan terhadap sel kanser yang sensitif terhadap hormon estrogen.
“Walaupun mekanisme tepat masih dalam kajian, dapatan awal menunjukkan kematian sel berlaku melalui proses apoptosis iaitu kematian sel secara terancang yang merupakan mekanisme semula jadi tubuh untuk menyingkirkan sel rosak atau tidak normal,” tambah beliau.
Beliau turut menjelaskan sesuatu ekstrak dianggap aktif apabila mampu membunuh 50 peratus sel kanser pada kepekatan rendah, iaitu kurang daripada 15 mikrogram per mililiter mengikut garis panduan Institut Kanser Negara (IKN).
“Dalam kajian kami, ekstrak tidak polar Baekea frutescens menunjukkan aktiviti yang memberangsangkan apabila ia mampu membunuh 50 peratus sel kanser payudara pada kepekatan antara 9 hingga 12 mikrogram per mililiter,” katanya.
Kajian awal juga menunjukkan ekstrak tersebut mempunyai sifat selektif kerana mampu membunuh sel kanser payudara tanpa memberi kesan sitotoksik kepada sel payudara normal.
Selain itu, faktor persekitaran turut mempengaruhi aktiviti biologi tumbuhan tersebut apabila sampel dari kawasan pesisir pantai Setiu, Terengganu menunjukkan aktiviti anti-kanser yang lebih poten berbanding sampel dari kawasan tanah tinggi seperti Bukit Fraser serta beberapa lokasi di Indonesia.
Walaupun begitu, Dr. Sandra menegaskan, penyelidikan terhadap tumbuhan ini masih berada pada peringkat awal dengan fokus kini diberikan kepada usaha mengenal pasti sebatian bioaktif yang bertanggungjawab terhadap aktiviti anti-kanser tersebut.
“Harapan saya melalui penemuan ini dapat menjadi asas kepada kajian lanjutan dalam pembangunan terapi anti-kanser pada masa hadapan membuktikan biodiversiti tempatan mempunyai potensi besar dalam menyumbang kepada inovasi bioperubatan,”
katanya. – MalaysiaGazette
(Artikel ini disumbangkan oleh Universiti Putra Malaysia)
















