JOHOR BAHRU – Kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran bersama-sama aktivis, Arun Dorasamy di mahkamah pagi tadi dilihat menghantar mesej dan isyarat yang salah kepada rakyat.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Fakharuddin Moslim berkata, tindakan tersebut seolah-olah memberi gambaran kerajaan campur tangan dalam proses kehakiman.
“Persepsi ini tak dapat dielakkan. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran tidak boleh datang teman orang kena tuduh (OKT).
“Ini akan menghantar mesej dan isyarat yang salah kepada rakyat. Ia juga seakan beri tekanan kepada majistret untuk jalankan tugasnya.
“Apatah lagi, kamu Timbalan Menteri Undang-Undang. Tidak dapat tidak, imej kerajaan Madani dan PMX juga akan terkena tempiasnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Kulasegaran sepatutnya menumpukan kepada tanggungjawab sebagai pembuat dasar dan pentadbir negara bukan hadir seolah-olah menjadi pengiring kepada pihak yang sedang berhadapan dengan pertuduhan jenayah.
“Keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi juga mesti dilihat dilaksanakan secara bebas dan saksama,” ujar Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tenggara itu.
Awal pagi tadi, Kulasegaran dilihat mengiringi Arun sewaktu tiba di pekarangan bangunan Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan sebuah video di aplikasi Whatsapp.
Arun didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan melalui video dimuat naik di Instagram miliknya.- MalaysiaGazette
















