KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam tindakan Israel menutup pintu Masjid Al-Aqsa ketika umat Islam sedang membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, sekali gus menafikan hak beribadah di antara tapak paling suci dalam Islam itu sepanjang hari-hari terakhir Ramadan hingga ke Aidilfitri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tindakan tersebut disifatkan tidak mempunyai asas yang sah dari segi undang-undang, moral mahupun nilai kemanusiaan sejagat, selain merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa.
Katanya, penutupan berterusan Masjid Al-Aqsa juga dilihat mencerminkan tahap kekebalan yang semakin meningkat.

“Sehubungan itu, Malaysia menyeru agar pintu Masjid Al-Aqsa dibuka dengan segera dan menggesa kerajaan-kerajaan yang mempunyai pengaruh agar tidak sekadar mengeluarkan kenyataan, sebaliknya mengambil tindakan nyata bagi memastikan pembukaannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Media antarabangsa semalam melaporkan, pihak berkuasa Israel menutup pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis yang diduduki, sekali gus menghalang jemaah daripada mengakses tempat suci itu untuk hari ke-16 berturut-turut.
Buat pertama kali sejak 1967 juga, jemaah dilarang daripada menunaikan solat di Al-Aqsa semasa hari-hari terakhir bulan suci Ramadan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia turut menzahirkan solidariti kepada umat Islam Palestin yang menyambut Aidilfitri dalam keadaan serba mencabar, sambil menegaskan bahawa keimanan, kesabaran dan ketabahan mereka tidak dipinggirkan.
“Rakyat Malaysia akan terus bersuara apabila perlu dan bertindak apabila mampu,” katanya. – MalaysiaGazette
















