Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan MIC sudah diterima secara rasmi sebagai komponen parti gabungan tersebut.

Katanya, komponen PN kini terdiri daripada Pas, Bersatu, Gerakan, MIC dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

“Saya mengesahkan perkara tersebut dan akan mengadakan pertemuan dengan Presiden MIC malam ini bagi menyerahkan surat yang mengesahkan mereka sudah menyertai PN secara rasmi.

“Permohonan mereka diterima pada Disember tahun lepas dan semasa mesyuarat pada 14 Mac lalu, kami memuktamadkannya dan mengesahkan kedudukan MIC dalam PN,” katanya seperti yang dilaporkan portal berita, hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Kota Bharu itu, MIC turut akan diberikan peranan dan kedudukan yang lebih dalam gabungan parti itu pada masa akan datang.

Ketika ditanya sama ada MIC sudang meninggalkan Barisan Nasional atau belum, Takiyuddin berkata, ia terserah kepada parti itu sendiri. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast