PETALING JAYA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) hari ini mencatat sejarah baharu apabila mengumumkan agihan dividen berjumlah RM21,002,941 bagi tahun kewangan 2024.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, agihan dividen itu merupakan yang tertinggi sejak penubuhan organisasi itu pada tahun 1972.
“Agihan dividen tersebut melibatkan 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) selaku pelabur dalam NAFAS.
“Dividen itu memberi manfaat kepada 212 rangkaian Pertubuhan Peladang di seluruh negara serta lebih 400,000 ahli peladang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Dividen PPN dan Majlis Iftar NAFAS 2026 di sini, hari ini.

Menurut Mohamad, agihan ini hasil pelaksanaan Pelan Reformasi NAFAS 2.0 yang berjaya memulihkan prestasi organisasi serta memperkukuh kedudukan kewangan bagi memastikan manfaat dapat dikembalikan kepada komuniti peladang.
“Pelaksanaan agihan dividen tersebut turut dipercepatkan melalui perintah khas yang diperuntukkan kepada Menteri bagi memastikan kebajikan ahli peladang terus terpelihara dan ia dapat dilaksanakan lebih awal menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Saya berpendirian obligasi sosial terhadap lebih 400,000 anggota peladang tidak wajar terjejas akibat penggantungan yang berlaku sebelum ini,” katanya.
Katanya lagi, pencapaian ini dilihat sebagai bukti kejayaan pelaksanaan Pelan Reformasi NAFAS 2.0 dalam memacu pemulihan operasi serta memperkukuh kedudukan kewangan organisasi selepas melalui beberapa fasa mencabar sebelum ini.
“Pencapaian ini sekali gus memperkukuh peranan NAFAS sebagai institusi penting dalam ekosistem peladang negara.
“Ia selari dengan usaha berterusan kerajaan untuk memacu kemampanan sektor pertanian serta meningkatkan kesejahteraan ekonomi komuniti peladang di seluruh Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















