KUALA LUMPUR — DAP yang menyambut ulang tahun ke-60 hari ini menampilkan tema Malaysia untuk Rakyat Malaysia, slogan yang kedengaran hampir sama pernah didendangkan berdekad lalu iaitu “Malaysia Malaysian.”
Tema kali ini segera mengundang perhatian kerana DAP sejak dahulu sering menekankan konsep kesamarataan dan identiti kebangsaan merentasi garis kaum.
Dalam pada itu, DAP dalam kenyataan rasminya menegaskan kedudukan parti berkenaan pada tahun 2026 jauh berbeza berbanding dekad-dekad lalu kerana ia kini adalah sebahagian daripada kerajaan memerintah.
“Kedudukan DAP pada tahun 2026 jauh berbeza berbanding dekad-dekad sebelumnya. Kini, DAP memikul amanah sebagai parti kerajaan, bukan sahaja di peringkat negeri malah di peringkat Persekutuan.
“Di tengah-tengah krisis geopolitik dan geo-ekonomi global yang kian mencabar, peranan DAP dalam mengemudi kestabilan negara menjadi semakin penting,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, sambutan ulang tahun ke- 60 atau dikenali DAP60 bukan sekadar nostalgia sejarah, sebaliknya mesej politik jelas bahawa parti itu mahu menegaskan kembali prinsip terasnya dalam landskap baharu sebagai parti kerajaan.
Selaras dengan aspirasi itu Malaysia untuk Rakyat Malaysia, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) menetapkan tema berkenaan dengan dua mesej utama iaitu kesetiaan kepada prinsip asal perjuangan dan komitmen membina bangsa.
Antaranya, parti itu menegaskan mahu kekal sebagai parti untuk rakyat marhaen, membela nasib golongan pekerja, peniaga kecil, penjaja, serta golongan rentan yang tertindas.
Dalam masa sama, tema itu turut dijadikan pedoman kepada pimpinan parti dalam kerajaan agar setiap dasar dan keputusan sentiasa berpaksikan prinsip pembinaan negara yang inklusif.
Sebagai pembuka tirai DAP60, logo rasmi dan laman sesawang dap60.my dilancarkan bagi menghimpunkan sejarah serta perkembangan program sepanjang tahun.
Antara acara utama termasuk Larian D Action Run di Seremban, perhimpunan pelancaran di Bukit Mertajam, jelajah nasional, Inisiatif Pembina Bangsa, Persidangan Tahunan Parti serta acara kemuncak pada 20 September 2026 di Kuala Lumpur. -MalaysiaGazette
















