Sheikh Umar Bagharib Ali, Young Syefura Othman, Syahredzan Johan dan Syerleena Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Empat Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP tidak bersetuju dengan tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran yang mengiringi orang kena tuduh (OKT), Arun Dorasamy di Mahkmah Majistret Jawi, Pulau Pinang, semalam.

Dalam kenyataan bersama, Sheikh Umar Bagharib Ali, Young Syefura Othman, Syahredzan Johan dan Syerleena Abdul Rashid menegaskan bahawa kehadiran Kulasegaran dalam kapasiti sebagai anggota pentadbiran kerajaan menimbulkan persoalan serius dari sudut persepsi awam.

Menurut mereka, tindakan itu bukan sahaja mencetuskan polemik hangat di ruang awam, malah berpotensi menjejaskan keyakinan terhadap prinsip kebebasan dan integriti institusi perundangan negara.

Dalam masa sama, mereka menegaskan, solidariti terhadap Arun yang ditunjukkan Ahli Parlimen Barat itu tidak mewakili pendirian DAP.

Mereka juga mengesahkan bahawa parti berkenaan tidak pernah membuat sebarang keputusan berhubung kecenderungan dalam kes berkenaan.

“Kami menghormati Kulasegaran sebagai seorang veteran parti. Namun, kami terpanggil untuk menyatakan bahawa kami sama sekali tidak bersetuju dengan tindakannya.

“Kami ambil maklum tentang penjelasan beliau mengenai isu ini, namun kedudukan beliau dalam kerajaan menuntut tahap kepekaan yang lebih tinggi terhadap persepsi awam, khususnya berkaitan prinsip bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi juga perlu dilihat dilaksanakan,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, sebagai anggota kerajaan, Kulasegaran seharusnya melakukan pertimbangan lebih berhati-hati terutama dalam isu membabitkan proses undang-undang.

Katanya, DAP perlu kekal berpegang kepada pendekatan seimbang dengan mempertahankan prinsip keadilan serta “innocent until proven guilty” tanpa menjejaskan proses undang-undang.

Kulasegaran semalam menafikan beliau berada dalam mahkamah ketika prosiding membabitkan aktivis, Arun Dorasamy berlangsung hari ini, sebaliknya hanya bertemu secara ringkas dengan individu itu di luar mahkamah.

Katanya, beliau singgah di mahkamah itu ketika dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang untuk bertemu Arun dan memberi kata-kata semangat supaya beliau mempercayai proses perundangan yang bakal dihadapinya. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast