Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi

TEHRAN – Pembunuhan Setiausaha Majlis Keselamatan Tertinggi Negara, Ali Larijani dalam serangan Israel tidak menjejaskan kerajaan Iran.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan, negara itu mempunyai struktur politik yang kukuh dengan institusi politik, ekonomi dan sosial yang mantap.

“Saya tidak faham mengapa Amerika Syarikat (AS) dan Israel masih tidak memahami perkara ini.

“Kehadiran atau ketiadaan seorang individu tidak menjejaskan struktur ini.

“Sudah tentu, individu berpengaruh dan setiap orang memainkan peranannya. Ada yang lebih baik, ada yang kurang baik tetapi yang penting adalah sistem politik di Iran merupakan struktur yang sangat teguh,” katanya semasa ditemubual stesen televisyen Al-Jazeera.

Menurut laporan televisyen negara Iran dan Majlis Keselamatan Negara Tertinggi, Ali terbunuh bersama anaknya, Morteza Larijani dan salah seorang pembantunya. Serangan lain turut membunuh ketua Basij, Gholamreza Soleimani.

Dalam temubual sama, Araghchi turut menyatakan bahawa pendirian Iran terhadap pembangunan senjata nuklear tidak akan berubah dengan ketara.

Kenyataan itu dibuat selepas tentera Iran berikrar untuk membalas dendam atas pembunuhan Larijani, dalam serangan udara Israel, dengan ketua tentera Iran mengancam untuk melancarkan tindak balas yang “tegas dan menyedihkan”.

Bagaimanapun beliau berkata, kesan global daripada konflik di Asia Barat ini “akan terkena kepada semua pihak,” sambil membayangkan lebih ramai pegawai Barat tampil menentang konflik tersebut.

Terdahulu, Pengarah Pusat Anti-Keganasan Amerika Syarikat, Joseph Kent mengumumkan peletakan jawatannya kerana tidak bersetuju dengan tindakan Presiden Donald Trump dan sekutunya Israel menyerang Iran.

Beliau yang bertanggung jawab menganalisis dan menyelaras respons AS terhadap ancaman keganasan serta berkhidmat sebagai penasihat utama anti-keganasan kepada Presiden menegaskan, Iran tidak menimbulkan ancaman kepada AS. -AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast