KUALA LUMPUR – Siri serangan ganas terhadap seorang guru dikenali sebagai ‘Cikgu Chandra’ kini disiasat sebagai ancaman keselamatan serius apabila polis mengesahkan suspek utama masih bebas dan sedang diburu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan kes khianat dan ugutan jenayah itu menunjukkan perkembangan positif, namun pihaknya belum dapat menahan individu utama yang dipercayai terlibat.
“Kita telah memperoleh beberapa petunjuk penting, tetapi usaha mengesan suspek masih diteruskan,” katanya kepada media hari ini.
Kes tersebut membabitkan Cikgu Chandra atau nama sebenar, S Chandrasegaran yang didakwa menjadi sasaran beberapa insiden serangan termasuk di kediamannya di Taman Kinrara, di sini.
Dalam kejadian terbaharu, sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dilaporkan menceroboh kawasan rumah mangsa sebelum merosakkan harta benda termasuk kenderaan.
Kediaman mangsa turut dibaling dengan objek dipercayai bom petrol mengakibatkan sebuah kenderaan terbakar.
Susulan itu, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, Seksyen 506 bagi ugutan jenayah serta Seksyen 435 berkaitan khianat menggunakan api.
Mengulas lanjut, Shazeli menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau mencetuskan ketegangan.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi isu itu, khususnya melibatkan sentimen agama, kaum dan raja (3R).
Kes berkenaan kini dilihat bukan lagi insiden terpencil, sebaliknya melibatkan ancaman berulang yang mendorong polis mempergiat usaha menjejaki dalang di sebalik serangan tersebut. – MalaysiaGazette
















