KUANTAN – Polis Pahang telah mengenalpasti sebanyak 36 lokasi hitam (blackspot) dan 25 lokasi panas (hotspot) atau kerap berlaku kemalangan dan kemalangan maut di seluruh negeri.
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, lebih 200 anggota polis dan polis trafik telah digerakkan bagi memantau lokasi terbabit sepanjang pelaksanaan Op Selamat 26 sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri bermula hari ini sehingga 24 Mac.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan lebih satu juta kenderaan akan menggunakan jalan raya, sama ada di lebuh raya, jalan raya persekutuan dan jalan negeri sepanjang tempoh Op Selamat ini.
“Kita juga bekerjasama dengan agensi-agensi rakan sahabat seperti pihak Bomba dan Penyelamat (JBPM) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk sama-sama bertugas sepanjang tempoh Op Selamat tersebut.
“Jadi diharap kepada pengguna jalan raya yang akan balik kampung dan membuat pergerakan supaya dapat mematuhi arahan-arahan dan mematuhi papan tanda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Majlis Serah Terima Tugas itu menyaksikan Superintendan Tan Yong Wee dilantik sebagai Ketua JSJN Pahang yang baharu menggantikan Superintendan Azmi Awang Lah.
Sementara itu, bagi mereka yang meninggalkan kediaman masing-masing untuk tempoh yang lama, Yahaya menasihati mereka agar memaklumkan kepada pihak polis di Balai Polis berdekatan atau menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
Jelas beliau, pihaknya turut menugaskan anggota polis untuk membuat rondaan dan pemantauan keselamatan berdasarkan maklumat-maklumat diperoleh dengan lebih kerap. – MalaysiaGazette
















