KUALA LUMPUR – Gagasan Rumah Bangsa UMNO bukan slogan kosong, sebaliknya adalah komitmen untuk membina semula keyakinan rakyat melalui penyatuan, perpaduan dan pengukuhan nasional.
Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah berkata, Rumah Bangsa tidak dibina dengan jeritan, tuduhan atau label, sebaliknya dibina dengan keikhlasan, tanggungjawab dan kesediaan untuk memperbaiki diri.
Jelasnya, Rumah Bangsa itu juga adalah tentang menyatukan yang berbeza, bukan menyingkirkan yang tidak sehaluan.
“Soal siapa kembali atau siapa tidak, itu bukan penentu masa depan.
“Yang menentukan ialah keikhlasan untuk berkhidmat dan keberanian untuk berubah.
“Saya percaya, rakyat Malaysia sudah cukup matang untuk menilai.
“Mereka tidak lagi terpengaruh dengan politik persepsi semata-mata, tetapi melihat kepada tindakan, integriti dan hasil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Armand Azha mengulas kenyataan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali yang dilihat seolah-olah menyelar usaha membawa semula bekas pemimpin UMNO termasuk Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi Rumah Bangsa.
Ibrahim yang juga bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO seperti dilaporkan portal berita berkata, tindakan berkenaan sekadar “kosmetik politik” yang tidak akan memulihkan keyakinan rakyat.
Sementara itu, Armand Azha berkata, beliau percaya, rakyat Malaysia sudah cukup matang untuk menilai dan tidak lagi terpengaruh dengan politik persepsi semata-mata, tetapi melihat kepada tindakan, integriti dan hasil.
“Kepada semua pihak, saya menyeru ketepikan perbezaan, hentikan perbalahan yang tidak membawa manfaat, dan fokus kepada agenda besar: perpaduan ummah dan kestabilan negara.
“Masa depan tidak dibina dengan kebencian. Masa depan dibina dengan kesatuan,” katanya. – MalaysiaGazette















