Antara penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk pulang ke kampung halaman sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan MalaysiaGazette di Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 19 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini menjadi tumpuan anak perantau untuk pulang menyambut hari raya ketika Aidilfitri semakin menjelang tiba. 

Meskipun penuh sesak dengan orang ramai yang menunggu giliran untuk menaiki bas menuju ke destinasi masing-masing, namun tinjauan Malaysia Gazette di terminal itu mendapati suasana tetap terkawal.

Bagi seorang penumpang, Mohd Fauzi Abd Rahman, 69, menaiki bas menjadi pilihan utama berikutan faktor kesihatan, selain menghargai kemudahan yang disediakan di terminal berkenaan.

Mohd Fauzi Abd Rahman

Menurutnya, kemudahan yang disediakan oleh pihak terminal bukan sahaja memudahkan proses membeli tiket, malah turut memberi ketenangan kepada warga emas dan penumpang lain untuk merancang perjalanan dengan lebih lancar dan selesa.

“Saya dari Cheras nak pulang beraya ke Kuantan, Pahang.

“Untuk warga emas macam saya, kemudahan di sini sangat membantu. Beli tiket di kaunter pun mudah, malah ada diskaun tambang,” katanya.

Sementara itu, Aisyah Ibrahim, 38, yang merupakan guru tadika berkata, pengalaman lebih 14 tahun sebagai anak perantauan menjadikannya lebih bersedia menghadapi situasi permintaan tinggi setiap kali musim perayaan.

Aisyah Ibrahim.

“Kalau nak balik raya, memang saya akan beli tiket sekurang-kurangnya sebulan lebih awal. Kalau lambat, memang susah nak dapat.

“Setakat ini, harga tiket tak banyak berubah, mungkin naik sedikit sahaja, sekitar RM1 atau RM2,” katanya yang memilih pembelian secara dalam talian kerana lebih mudah dan menjimatkan masa.

Bagi Emiliana Toney, 42, yang akan pulang ke Kota Bharu, Kelantan, perjalanan pulang kali ini memerlukan sedikit perancangan tambahan selepas tiket terus ke destinasi habis dijual.

Emilliana Toney.

“Memang sukar nak dapat tiket terus ke Kelantan, jadi saya ambil alternatif ke Terengganu dahulu, kemudian keluarga datang menjemput di sana. Harga tiket juga ada yang meningkat, ada yang mencecah lebih RM100 bergantung kepada bas,” jelasnya.

Sementara itu, Muhammad Naim Lutfi, 21, yang akan pulang ke Melaka pula bersyukur kerana masih sempat mendapatkan tiket melalui aplikasi dalam talian.

Muhd Naim Lutfi

“Walaupun agak sibuk kerana ramai yang menempah tiket, semuanya berjalan lancar. Saya gembira kerana ini pengalaman pertama saya pulang beraya sebagai anak perantau,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast