ISTANBUL – Kuwait Petroleum Corporation pada Khamis mengumumkan sebuah dron telah menyerang unit operasi di Loji Penapisan Mina Al-Ahmadi yang dikendalikan oleh Kuwait National Petroleum Company, sehingga mencetuskan kebakaran kecil, lapor Agensi Anadolu.
Dalam satu kenyataan, perbadanan itu memaklumkan serangan berkenaan tidak menyebabkan sebarang kecederaan, sambil menambah bahawa pasukan kecemasan berjaya mengawal kebakaran selaras dengan piawaian keselamatan tertinggi yang diluluskan.
Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa berkaitan telah mula mengambil langkah perlu bagi menangani insiden tersebut dan memastikan keselamatan operasi di loji penapisan berkenaan terjamin.
Serangan itu menyusuli siri serangan terbaharu ke atas Kuwait. Sejak beberapa hari kebelakangan ini, pihak berkuasa melaporkan telah memintas peluru berpandu dan dron yang disasarkan ke kemudahan tentera tanpa menyebabkan sebarang kemalangan jiwa.
Iran menyatakan ia menyasarkan apa yang disifatkannya sebagai tapak dan kepentingan tentera Amerika Syarikat (AS) di rantau itu sebagai sebahagian daripada ketegangan yang sedang memuncak berkaitan konflik membabitkan AS, Israel, dan Iran.
— BERNAMA-ANADOLU
















