Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 SEPTEMBER 2025

KUALA LUMPUR — Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan usaha dialog antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan wakil komuniti India wajar dipuji, namun sebarang tindakan provokatif yang mencetuskan ketegangan kaum dan agama tidak boleh dibiarkan berterusan.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik pertemuan yang diadakan bagi mencari titik pendamaian berhubung isu-isu kebelakangan ini.

“Inisiatif seperti ini mencerminkan kematangan rakyat Malaysia dalam menangani perbezaan secara berhemah.

“Sejarah telah membuktikan bahawa asas perpaduan negara ini terbina melalui rundingan, tolak ansur dan persefahaman antara pemimpin pelbagai kaum sebelum kemerdekaan dan pembentukan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aaron Ago menekankan bahawa pendekatan dialog mencerminkan kematangan rakyat Malaysia dalam mengurus perbezaan dengan cara berhemah.

“Kesepakatan ini kemudiannya dimuktamadkan dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan, dokumen tertinggi negara yang menjadi tunjang kepada kestabilan, keadilan dan keseimbangan antara kepelbagaian kaum, agama dan budaya,” tambah beliau.

Beliau menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan menyediakan kerangka jelas bagi mengurus kepelbagaian masyarakat.

“Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di samping menjamin kebebasan beragama, kewarganegaraan, bahasa kebangsaan serta kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera, tanpa menafikan hak kaum-kaum lain.

“Inilah formula unik Malaysia yang perlu terus difahami, dihormati dan dipertahankan oleh semua pihak,” jelasnya lagi.

Dalam masa sama, Aaron Ago mengingatkan kerajaan mempunyai tanggungjawab moral untuk bertindak terhadap pihak yang cuba menyalakan api perpecahan.

“Undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 jelas memberi kuasa untuk menangani isu sensitif berkaitan kaum dan agama, tetapi penguatkuasaan masing-masing perlu diperbaiki dan dipertingkatkan.

“Sehubungan itu, agensi penguatkuasaan seperti PDRM dan MCMC mesti mempertingkatkan tindakan secara lebih tegas, pantas dan proaktif bagi membuktikan keberanian moral kerajaan,” tambah beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa semua agama mengangkat nilai keamanan dan perbezaan perlu ditangani melalui musyawarah, bukan konfrontasi.

“Hakikatnya, semua agama mengangkat nilai-nilai keamanan, persaudaraan, saling menghormati serta keperluan untuk hidup bersama dalam suasana harmoni.

“Oleh itu, sebarang perbezaan hendaklah ditangani melalui pendekatan musyawarah, bukannya konfrontasi,” katanya lagi.

Awal hari ini, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menegaskan, rundingan damai antara NGO Islam dan Hindu semalam menekankan bahawa rumah ibadat yang tidak mengikut undang-undang tidak boleh dikompromi.

Persefahaman dicapai kedua-dua pihak semalam menetapkan bahawa semua rumah anutan agama wajib mematuhi undang-undang sedia ada tanpa pengecualian. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast