Gambar hiasan. Foto SADIQ SANI, 2 JULAI 2024

KUALA LUMPUR – Pengusaha bas persiaran di seluruh negara kini berdepan tekanan kos operasi yang semakin meruncing susulan kenaikan harga diesel yang tidak disertai dengan mekanisme sokongan kepada industri pengangkutan pelancongan.

Presiden Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (GAPP Bas Malaysia), Abdul Aziz Ismail Gani berkata, sebagai sektor yang memainkan peranan penting dalam menyokong pergerakan pelancong domestik dan antarabangsa, pengusaha bas persiaran amat terkesan kerana bahan api merupakan komponen kos terbesar dalam operasi harian.

Menurutnya, kenaikan harga diesel telah menyebabkan peningkatan kos operasi secara mendadak sekali gus memberi tekanan kepada kelangsungan perniagaan pengusaha khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana.

Kata beliau, industri bas persiaran merupakan antara tulang belakang kepada ekosistem pelancongan negara dan perkhidmatan itu bukan sahaja menghubungkan pelancong ke pelbagai destinasi pelancongan.

“Malah, ia turut menyokong operasi hotel, agensi pelancongan, penganjur acara, institusi pendidikan serta pelbagai aktiviti pelancongan komuniti di seluruh negara.

“Dalam konteks usaha memperkukuhkan sektor pelancongan negara, industri bas persiaran memainkan peranan kritikal dalam memastikan kelancaran pergerakan pelancong di dalam negara.

“Namun begitu, peningkatan kos bahan api tanpa sokongan dasar yang bersesuaian berisiko menjejaskan kemampuan industri untuk terus menawarkan perkhidmatan pada kadar yang kompetitif.

“Sekiranya situasi ini berterusan, pengusaha tidak mempunyai banyak pilihan selain menyesuaikan kadar sewaan bas bagi menampung peningkatan kos operasi. Keadaan ini berpotensi meningkatkan kos pakej pelancongan dan boleh memberi kesan kepada daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan serantau,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Abdul Aziz Ismail Gani.

Abdul Aziz menambah, GAPP mencadangkan agar kerajaan memberi subsidi diesel bersasar kepada pengusaha bas persiaran berlesen di mana pelaksanaan skim rebat diesel berdasarkan penggunaan operasi sebenar.

Menurut beliau, insentif cukai sementara juga perlu disediakan kepada syarikat pengangkutan pelancongan selain penubuhan dana sokongan khas bagi membantu industri pengangkutan pelancongan menghadapi peningkatan kos operasi.

“Pada masa sama, dialog rasmi antara kerajaan dan wakil industri boleh dianjurkan bagi merangka penyelesaian jangka panjang yang mampan.

“Pengusaha bas persiaran kekal komited untuk terus menyokong pembangunan sektor pelancongan negara serta memastikan perkhidmatan pengangkutan pelancongan yang berkualiti kepada pelawat domestik dan antarabangsa.

“Namun begitu, tanpa sokongan yang sewajarnya, peningkatan kos operasi akibat kenaikan harga diesel boleh memberi kesan serius kepada kelangsungan industri ini serta rantaian ekonomi pelancongan yang lebih luas,” katanya.

Semalam, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia meningkat sebanyak 80 sen kepada RM4.72 seliter, manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter bagi tempoh 19 Mac hingga 25 Mac ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan  memaklumkan, harga runcit petrol RON97 turut dinaikkan sebanyak 70 sen kepada RM4.55 seliter, manakala harga petrol RON95 tanpa subsidi kekal pada RM3.27 seliter bagi tempoh sama.

MOF turut memaklumkan harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter.

“Harga minyak mentah global kini melebihi AS$100 setong, sejak tercetusnya konflik Asia Barat.

Dalam keadaan ini, Kerajaan MADANI mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter melalui BUDI95 bagi melindungi isi rumah, manakala harga pasaran bahan api diselaraskan secara berperingkat selaras dengan kenaikan harga global sejak krisis tersebut bermula penghujung Februari 2026,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast