KUALA LUMPUR – Menyambut Aidilfitri di perantauan terutamanya bagi warga asing, pastinya rasa sedih dan rindu tidak dapat disembunyikan terhadap keluarga di kampung halaman.
Faktor seperti kos perjalanan yang tinggi dan tuntutan kerja memaksa ramai meraikan Aidilfitri secara sederhana di Malaysia, sekali gus menguji kesabaran dan kecekalan diri.
Apatah lagi menjelang Lebaran esok, ada di kalangan mereka yang masih sibuk bekerja terutama melayan orang ramai membeli belah di kedai runcit Aceh.
Bagi seorang warga Indonesia, Zul Helmi Abdul Qadir, 24, rutin hariannya masih sama seperti hari biasa berbanding rakyat negara ini yang sedang sibuk menyambut Hari Raya sama ada pulang ke kampung atau membeli belah di saat akhir.
Malah kata pemuda dari Lhokseumawe, Aceh itu, dia sudah empat tahun tidak pulang beraya di kampung halaman dan menerima takdir hidup memilih Malaysia sebagai ‘rumah kedua’.

“Siapa tidak rindu untuk pulang ke kampung dan jika ada rezeki mahu pulang ke Aceh tetapi saya tidak boleh hendak buat apa kerana saya bekerja untuk mencari rezeki buat keluarga.
“Namun saya masih bersyukur kerana masih ada saudara-mara di sini iaitu abang dan jadi saya akan menyambut Aidilfiti bersama dia selain kawan-kawan sekampung,” katanya yang bekerja di kedai runcit ‘Aceh’ di Taman Puncak Jalil di sini hari ini.
Biarpun tidak dapat berkumpul bersama keluarga di kampung halaman sempena Aidilfiti kerana tuntutan kerja, selain kekangan kewangan, Zul Helmi mengakui dia tetap bersemangat melakukan persiapan menyambut lebaran di negara ini.
Berkongsi persiapan meraikan hari istimewa itu, anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, dia tidak mempunyai masalah meraikan Aidilfitri di Malaysia sebaliknya bersyukur masih dipanjangkan usia untuk menyambut hari kemenangan umat Islam itu selepas sebulan berpuasa.

“Persiapan baju raya hanya ala kadar sahaja dan membeli ikut kemampuan apatah lagi saya hanya menyewa bilik bersama kawan-kawan di sini.
“Mungkin saya dan kawan-kawan akan turut mengambil kesempatan cuti umum untuk bersiar-siar ke pusat beli-belah kerana budaya itu sudah sinonim buat warga asing di negara,” katanya yang bersyukur kerana Malaysia memberi peluang kepadanya mencari rezeki buat keluarga di kampung.
“Walaupun terpisah ribuan kilometer dengan keluarga, saya tetap bersemangat menyambut Aidilfitri di Malaysia sejak empat tahun lalu.
“Namun perasan sedih sayu dan sedih tetap ada kerana hati meronta untuk pulang kerana terdapat saudara mara di kampung yang terkesan dengan banjir besar yang melanda Aceh sebelum ini,” katanya.
Zul Helmi juga mengakui nilai mata wang ringgit yang tinggi berbanding rupiah memberi kelegaan kepada warga Indonesia yang menghantar wang ke kampung buat keluarga menyambut hari raya di sana.
Katanya nilai ringgit itu memberi kelebihan apabila ditukarkan ke rupiah kerana ia memberikan lebihan nilai untuk ahli keluarga berbelanja di Indonesia. – MalaysiaGazette

















