Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Perutusan Aidilfitri 2026 yang menekankan keutamaan negara untuk mengekalkan tekad dan kesatuan hati (wahdatul fikr, wahdatul amal) bagi mempertahankan keharmonian kaum yang menjadi tunjang kekuatan Malaysia.

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia untuk menterjemahkan ibadah yang dilakukan sepanjang Ramadan kepada kekuatan dalaman bagi mendepani cabaran ekonomi dan ketidaktentuan geopolitik dunia yang kian mencabar.

Menerusi Perutusan Aidilfitri, Anwar berkata keutamaan negara ketika ini adalah mengekalkan tekad dan kesatuan hati (wahdatul fikr, wahdatul amal) bagi mempertahankan keharmonian kaum yang menjadi tunjang kekuatan Malaysia.

“Maka kita harap dan sama-sama berdoa agar ibadah bulan Ramadan ini diserap ke sanubari dan menjadi amalan berterusan.

“Semangat dan nilai yang dibugar daripada tarbiyah Ramadan harus disegarkan untuk menjana kekutan dalaman umat yang merupakan pra syarat penting untuk negara kita tercinta Malaysia bergerak lebih pantas, berderap dan yakin ke hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menarik perhatian mengenai situasi tegang di Asia Barat, termasuk serangan rejim Israel dan konflik melibatkan Iran yang dijangka memberi kesan rantaian kepada ekonomi serantau.

“Kita harus lebih waspada kerana kesan daripada peperangan itu tentunya akan menjalar ke kawasan kita dari segi harga minyak, harga barang, kos sara hidup dan tekanan pada ekonomi negara.

“Jadi sebab itulah kerajaan akan berusaha sedaya upaya meringankan rakyat dari beban yang bakal ditimpa.

“Kita bertanggungjawab untuk kembali menjiwai jiwa roh Ramadan dan semangat membela nasib rakyat miskin,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai keunikan Malaysia, Anwar berkata amalan ucap selamat, silaturahim dan rumah terbuka telah menjadi tradisi yang sebati dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

“Di sebalik kegembiraan menyambut hari kemenangan, roh Ramadan yang mendidik jiwa supaya membela nasib rakyat miskin tidak seharusnya dilupakan,” ujarnya.

Sambil memetik surah Al-Isra’ ayat 26, Anwar menasihati umat Islam agar menyambut Aidilfitri dengan lebih sederhana dan peka terhadap mereka yang sedang menderita, sama ada di dalam mahupun di luar negara.

“Jadi sementara kita berada di ambang Aidilfitri dan menerima kenyataan perkembangan dan kegawatan politik dan kerencaman serta kemelut yang berlaku khususnya di Asia Barat, kita harus lebih peka dan prihatin, lebih menjiwai gesaan roh Ramadan dan pesan al-Quran untuk menyempurnakan ibadah dan menyambut apa juga sambutan budaya atau Aidilfitri dengan lebih sederahana,” ujarnya.

Beliau turut percaya dengan persiapan dan perancangan yang baik, negara ini boleh kekal optimis dengan kedudukan ekonomi yang telah dicapai terutamanya sejak beberrapa tahun kebelakangan ini.

“Kerajaan Madani akan berusaha mempertahan dan mengukuhkan kedudukan ini tatkala cabaran kian melanda.

“Pada hari kemenangan ini, marilah kita bulatkan tekad, realisasikan agenda Malaysia Madani dengan menjadi landasan asasi, mengangkat martabat insan, menegak keadilan, mepertahankan prinsip hidup, benar dan meratakan kemakmuran dan terjaminnya keselamatan negara,” tambahnya lagi.

Menerusi perutusan itu juga, Anwar turut berkata, meskipun dunia berdepan kegawatan, beliau tetap optimis dengan kedudukan ekonomi negara yang telah dicapai sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“ALLAH SWT berfirman dalam surah Hud ayat-88, yang bermaksud ‘Tidak ada upaya kita selain dari membawa perubahan, kebaikan dan dengan segala tenaga bergerak ke arah tersebut dengan pertolongan ALLAH SWT dan kepada ALLAH SWT jualah kita berserah dan kita akan kembali’.

“Saya turut menyeru agar semangat perubahan dan kebaikan terus digerakkan demi menjamin keselamatan serta martabat negara di persada antarabangsa.

“Mengikut tradisi agama dan budaya masyarakat Melayu, Aidilfitri Mubarak, selamat hari raya maaf zahir dan batin,” katanya. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast