Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan di DUN Duyong, Melaka pada Rabu.

KUALA LUMPUR – Yayasan Harik memperuntuk RM15,000 untuk sumbangan bakul rezeki kepada golongan asnaf sempena sambutan Aidilfitri di kawasan Parlimen Titiwangsa dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Melaka.

Pengasasnya, Harik Fauzi berkata, pihaknya berhasrat membantu lebih ramai golongan memerlukan menerusi hasil jualan kopi jenama Pak Erik keluarannya sebagai wadah kebajikan.

“Dana itu bagi menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu akan disalurkan melalui keuntungan Br Design Sdn Bhd selain sumbangan usahawan perseorangan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, seramai 50 asnaf di DUN Duyong menerima sumbangan bakul rezeki menerusi kolaborasi bersama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Duyong baru-baru ini.

Harik juga berkata, inisiatif itu bertujuan meringankan beban golongan memerlukan menjelang Aidilfitri selain menyokong usaha wakil rakyat tempatan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela di kawasan masing-masing.

“Saya merakamkan terima kasih kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri selaku Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta Azman Abdullah atas sokongan dan kerjasama penuh dalam menjayakan usaha ini,” katanya.

Menurut Harik, yayasan itu yang ditubuhkan secara rasmi pada 5 Februari lalu sebagai platform untuk memperluas gerakan kebajikan yang sebelum ini dilaksanakan secara individu sejak 2021.

“Bantuan itu merupakan inisiatif permulaan bagi suku pertama tahun ini dengan memberi tumpuan kepada keperluan asas golongan asnaf.

“Bagi suku kedua, yayasan berhasrat menambah baik pelaksanaan program kebajikan melalui gerak kerja lebih tersusun dan efisien agar bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan,” katanya.

Katanya lagi, Yayasan Harik juga merancang memperluaskan program kebajikan di kawasan Kuala Lumpur dan Melaka.

“Yayasan Harik turut menyasarkan negeri lain seperti Selangor dan Pahang dalam melaksanakan insiatif CSR ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast