KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara, Zoey Rahman mengambil langkah berani dalam kerjaya seninya apabila tampil menulis lirik lagu raya berjudul Kita Dah Raya, sekali gus menjadi pengalaman pertama buatnya menghasilkan karya muzik sendiri.
Menurut Zoey yang juga usahawan, dia sendiri tidak menyangka mampu menulis lirik lagu selepas diminta oleh pengurusnya untuk menggambarkan suasana Aidilfitri dari sudut pandang generasi muda.
“Pada awalnya pengurus saya suruh saya tulis gambaran tentang suasana raya untuk golongan Gen Z yang tengah bercinta dan bila siap saya serahkan pada pengurus saya yang membuat sedikit ubah suai sebelum dihantar kepada komposer Riaraiba.
“Esoknya pengurus saya cakap, demo lagu raya sudah ada dan saya perlu menyanyi tetapi berduet. Masa tu otak saya keliru tetapi bila saya dengar demo itu dua kali, terus saya kata sedap lagu ni dan kenapa aku tidak cuba,” katanya yang berusia 41 tahun.
Pada peringkat awal, kata Zoey, pengurusnya, Zafar mencadangkan penyanyi Anis Suraya sebagai pasangan duet.
Malah selepas mendengar demo lagu tersebut, Anis turut memberikan reaksi positif.
Namun disebabkan kekangan masa menjelang Ramadan, mereka akhirnya membuat keputusan untuk mencari pasangan duet lain.
Selepas beberapa perbincangan, Zoey akhirnya memilih untuk bergandingan dengan penyanyi Elliza Razak bagi menjayakan projek tersebut.
Rakaman lagu Kita Dah Raya itu berlangsung di Platinum Studio, Damansara Perdana dan mengambil masa sekitar enam jam untuk disiapkan dengan bantuan jurutera bunyi Mr. Choy atau Illegal serta Nine Phyne Ballerz sebagai jurulatih vokal.
Elliza turut berkongsi keterujaannya apabila diajak menyertai projek tersebut, lebih-lebih lagi kerana hubungannya dengan Zoey yang sudah lama terjalin.
“Mula mula dapat panggilan dari Zafar dan bila dia sudah terangkan ini projek lagu raya berduet dengan Zoey, saya rasa sangat teruja sebab kami kawan yang sudah lama tidak berjumpa.
“Bila kami jumpa semula untuk pertama kali berbincang, semua kenangan masa kami lepak sama dulu keluar satu persatu. Dan sebab kami sudah memang rapat, jadi keserasian untuk berduet tu memang ada,” kata Elliza.
Sementara itu, lagu Kita Dah Raya ciptaan RiaRaiba dengan lirik oleh Zoey Rahman yang telah dilancarkan di semua platform digital dan diterbitkan oleh ENIM Music serta diedarkan oleh Rusa Music. – MalaysiaGazette
















