Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

KUALA LUMPUR —  Keterjaminan makanan negara kekal terkawal dan mencukupi sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri, walaupun permintaan meningkat mendadak ketika musim perayaan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, soal bekalan makanan bukan perkara bermusim, sebaliknya menjadi keutamaan berterusan kerajaan demi memastikan rakyat tidak terjejas.

Menurut beliau, walaupun Aidilfitri sinonim dengan perhimpunan keluarga dan hidangan istimewa, aspek keselamatan dan kestabilan bekalan makanan tetap dipantau rapi.

“Di sebalik setiap hidangan di meja, ada usaha dan keringat para petani, peladang, penternak dan nelayan yang tidak pernah berhenti memastikan makanan sampai ke rumah rakyat.

“Bagi pihak kementerian, kami akan terus komited memastikan keterjaminan makanan negara sentiasa terpelihara dan bekalan mencukupi, bukan sahaja di musim perayaan, tetapi sepanjang masa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, komitmen kerajaan bukan sekadar memastikan bekalan mencukupi, malah memastikan tiada gangguan yang boleh mencetuskan tekanan harga di pasaran tempatan.

Katanya lagi, kementerian akan terus mendengar suara petani dan nelayan serta memperkukuh sokongan kepada golongan tersebut supaya produktiviti dan rantaian bekalan kekal stabil.

Mohamad berkata, keterjaminan makanan adalah kepentingan nasional yang memerlukan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan dan sektor swasta bagi memastikan sistem bekalan terus kukuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast