SHAH ALAM – Busana Melayu atau pakaian tradisional orang Melayu sama ada dengan potongan cekak musang ataupun teluk belanga tidak asing kepada rakyat tempatan dan menjadi pilihan untuk digayakan pagi 1 Syawal setiap tahun.
Namun busana Melayu seolah-olah hilang serinya jika tidak dipadankan dengan aksesori wajib iaitu samping songket mahupun tenun, sama ada buatan secara tradisi ataupun siap pakai.
Tinjauan MalaysiaGazette di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini mendapati kebanyakan jemaah yang hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri memakai baju Melayu lengkap dengan samping.
Menurut Adrian Jufri, 24, walaupun dia masih mudah, namun samping tradisional menjadi pilihannya untuk dipadankan dengan baju Melayu, apatah ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri.
“Saya pilih tradisional, sebab bagi saya tradisional lagi ‘vibe’. Nampaklah kita kembali ke zaman-zaman dulu berbanding samping segera.
“Kalau samping tradisional, kita boleh buat macam-macam gaya dan bunga. Itu sebab saya pilih samping tradisional berbanding samping segera. Saya lebih suka ikat sendiri.
“Tapi saya cuba cara ikatan anak daripada Tuanku Sultan Pahang tak silap. Saya belajar daripada TikTok. Saya belajar kan, lepas tu saya cuba,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Jelasnya Adrian, pemakaian samping tradisional sebaik-baiknya perlu dikekalkan agar pakaian tradisi orang Melayu itu tidak luput ditelan zaman.
“Saya suka ke arah tradisional daripada moden. Sebab nanti suatu hari nanti kita akan kembali kepada tradisional semula dan ia perlu dikekalkan,” katanya.

Bagi Che Wan Muhammad Imran, 26, samping tradisional lebih nampak kemas berbanding samping segera apatah lagi ketika menghadiri sesuatu majlis rasmi.
“Kalau samping tradisional, kalau kita lipat betul-betul, nampak macam kemas dan elok. Cuma samping segera ini lebih senang pakai, sarung terus siap, kalau pakai samping tradisional pula, lipatan dia besar,” katanya.

Che Wan tidak menafikan walaupun samping segera jauh lebih murah berbanding samping tradisional, namun hasil tangan orang-orang Melayu turun-temurun membuatkannya nilai tinggi dan berharga.
“Kalau samping segera ini dia sarung macam itu saha, sebab tu dia murah sikit dan kadang-kala corak agak membosankan,” katanya.

Sementara itu, bagi Nabhan Ismil, 41, dia akan menerapkan pemakaian samping tradisional kalangan anak-anaknya apabila umur mencecah 13 tahun.
“Saya lebih memilih samping tradisional sebab kita dari kecil sudah biasa dengan pakaian tradisional. Zaman sekarang lebih kepada nak cepat, samping segera menjadi normal dan biasa.
“Macam anak kecil saya sekolah rendah kita pakaikan dengan samping segera, namun anak sulung saya tingkatan satu umur 13 tahun saya mula mengajar cara ikatan tradisional.
“Saya tekankan kita perlu kekalkan samping tradisional, salah satu budaya Melayu kita dari turun-temurun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















