JIM Selangor melaksanakan Ops Omnipresent.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor terus mempergiatkan pemantauan di beberapa lokasi tumpuan warga asing menerusi Ops Omnipresent sepanjang musim perayaan.

Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi itu dilaksanakan secara berterusan menerusi rondaan dan pemeriksaan berkala di lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘hot spot’.

Katanya, seramai 16 pegawai JIM Selangor terbabit dalam operasi itu yang dijalankan dengan penubuhan dua pasukan khas.

“Antara kawasan tumpuan utama operasi termasuk sekitar hentian bas di Port Klang, Terminal Bas Klang dan kawasan 13 Klang.

“Selain itu, operasi turut meliputi Dataran Otomobil Seksyen 15 Shah Alam, Pasar Borong Selayang, Mentari Court Sunway, GM Klang Wholesale serta Pasar Taman Sri Muda Shah Alam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seramai 200 individu telah diperiksa sepanjang operasi dijalankan bermula Jumaat lalu hingga hari ini.

Katanya, operasi ini turut dilaksanakan menggunakan kenderaan rasmi jabatan yang dilengkapi lampu ‘beacon’ sebagai langkah meningkatkan kehadiran anggota penguat kuasa di lapangan.

“Ia juga bertujuan memberi keyakinan kepada orang awam terhadap usaha pemantauan yang dijalankan pihak berkuasa,” katanya

Dalam masa sama, Khairrul berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan sepanjang musim perayaan.

“Orang ramai juga disaran menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast