KUALA LUMPUR – Tindakan pantas Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur membantu seorang penunggang motosikal yang terbabas di Jalan Parlimen semalam mendapat perhatian di media sosial.
Ketika kejadian, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dalam penugasan rondaan Op Selamat 26 Aidilfitri di jalan utama sekitar ibu kota dan menyedari kemalangan itu pada jam 10 malam.
Polis Trafik Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, Mohd Zamzuri menyedari seorang penunggang motosikal terbabas dan bertindak segera memberikan bantuan awal kepada mangsa serta memastikan keselamatan di lokasi kejadian terkawal.

Dalam pada itu, terdapat juga pasangan suami isteri yang bersama membantu mangsa dalam kejadian tersebut.
“Tindakan proaktif dan keprihatinan Mohd Zamzuri mencerminkan komitmen tinggi beliau sebagai ketua yang sentiasa turun padang, memantau penugasan anggota serta mengutamakan keselamatan orang awam.
“Warga JSPT Kuala Lumpur wajar mencontohi Mohd Zamzuri yang peka, bertanggungjawab dan prihatin dalam menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan menerusi hantaran di Facebook. – MalaysiaGazette
















