NIBONG TEBAL – Tiga individu tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kebakaran sebuah gerai jualan mercun dan bunga api di Taman Pekaka di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, dua lelaki dan seorang wanita yang ditahan itu direman selama tiga hari sehingga 25 Mac ini.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan iaitu berkaitan kelakuan cuai melibatkan bahan letupan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Gerai bunga api terbakar: MBSP tarik balik permit, ketatkan syarat
Gerai mercun terbakar: Armada Bersatu desak polis jelaskan status lesen
Gerai jualan mercun raya musnah dalam kebakaran
Mengulas lanjut beliau berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian pada jam 12.05 tengah malam.
Katanya, kebakaran itu mengakibatkan kerosakan kepada beberapa harta benda termasuk sebuah motosikal, dua buah kereta serta premis berhampiran yang melibatkan sebuah restoran dan rumah kediaman.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
“Siasatan awal mendapati gerai tersebut mempunyai permit yang sah, namun punca kebakaran sehingga menyebabkan letupan bunga api dan merebak ke kawasan sekitar masih dalam siasatan,
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan keselamatan dalam pengendalian bahan mudah terbakar, khususnya sepanjang musim perayaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – MalaysiaGazette
















