Sumber : Kesultanan Pahang

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan dan prihatin terhadap rakyat berkenaan cuaca panas dan kering yang melanda negeri ketika ini.

Baginda bertitah, keadaan cuaca kini menuntut perhatian yang lebih serius berikutan peningkatan suhu serta risiko kebakaran yang boleh berlaku dalam keadaan persekitaran yang kering.

Justeru, baginda menasihati rakyat agar sentiasa memastikan pengambilan air yang mencukupi, mengurangkan aktiviti luar pada waktu tengah hari serta mengambil langkah berjaga-jaga khususnya terhadap golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Selain itu, baginda juga menegaskan agar orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka termasuk membakar sampah, daun kering atau sisa kebun yang boleh mencetuskan kebakaran tidak terkawal serta menjejaskan kualiti udara.

“Amalan membakar sampah secara terbuka bukan sahaja berbahaya malah boleh menyebabkan jerebu dan menjejaskan kesihatan orang ramai. Rakyat hendaklah lebih bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar.

“Kita semua perlu berwaspada dan bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan negeri sentiasa terpelihara sepanjang tempoh cuaca panas dan kering ini,” titahnya menerusi Kesultanan Pahang.

Baginda turut menyeru semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan untuk mempertingkat pemantauan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar larangan pembakaran terbuka.

Rakyat juga disaran untuk melaporkan sebarang kejadian kebakaran atau aktiviti pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa dengan segera bagi mengelakkan kejadian lebih buruk. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast