JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menjalankan pemeriksaan ke atas stesen minyak di Mutiara Rini di sini yang membenarkan dua individu mengisi RON95 ke dalam sebuah tong besar di ruang but kereta.

Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pemeriksaan meliputi semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta penelitian terhadap rekod transaksi dan resit pembelian bagi tujuan pengesahan.

“Hasil semakan awal mendapati terdapat dua transaksi pengisian petrol RON95 iaitu satu pengisian ke dalam tangki kenderaan manakala satu lagi diisi ke dalam tong plastik di bahagian but kenderaan dengan kuantiti yangbmelebihi had yang dibenarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia.

“Dalam pemeriksaan tersebut, pasukan penguat kuasa KPDN turun padang bagi menjalankan siasatan dengan pihak pengurusan stesen minyak dan memberikan peringatan agar sentiasa mematuhi peraturan serta meningkatkan pemantauan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.

“KPDN Johor juga akan mengambil tindakan susulan dengan mengesan serta memanggil pemilik kenderaan bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu katanya, satu tindakan kes telah diambil di bawah Subperaturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan Malaysia.

Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu.

Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara denda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM5 juta bagi syarikat.

KPDN Johor mengalu-alukan aduan awam dan menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan dan maklumat bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan dan maklumat.

Pengguna di Johor boleh menyalurkan maklumat atau aduan kepada pihak kementerian melalu Whatsapp 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN iaitu [email protected]; call centre 1–800–886-800; daniv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.

Terdahulu tular beberapa video memaparkan kenderaan nombor pendaftaran Johor mengisi RON95 dalam sebuah tong di but kereta.

Perakam video turut menunjukkan jumlah lebih 71 liter RON95 yang diisi dengan bayaran melebihi RM230 tertera di pam.

Membeli petrol bersubsidi (RON95/Diesel) menggunakan tong/bekas tanpa permit adalah salah di sisi undang-undang, khususnya di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast