KUANTAN – Polis masih dalam proses melengkapkan siasatan kes rogol gadis bawah umur membabitkan seorang remaja lelaki yang disyaki anak seorang wakil rakyat di negeri ini.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kertas siasatan akan dihantar kepada pihak pendakwa raya selepas siasatan selesai untuk tindakan selanjutnya.
“Kes masih dalam proses merakam keterangan saksi sebelum siasatan dapat dilengkapkan. Tarikh pendakwaan akan dimaklumkan semula,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang gadis berusia 16 tahun dipercayai menjadi mangsa rogol kenalan lelaki yang baru dikenalinya baru-baru ini.
Sejurus menerima laporan daripada ibu mangsa, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran telah menahan suspek untuk siasatan lanjut pada Jumaat lepas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun serta disebat.
Sementara itu, tular di media sosial mendakwa suspek merupakan anak kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini. – MalaysiaGazette
















