KUALA LUMPUR – Keunikan rasanya yang lebih lemak dan aroma tersendiri menjadikan lemang periuk kera kini semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar, khususnya menjelang Aidilfitri.
Berbeza dengan lemang buluh yang lebih sinonim dengan masyarakat, lemang periuk kera tampil sebagai pilihan yang jarang ditemui, sekali gus mencetuskan tarikan tersendiri kepada pelanggan yang ingin mencuba kelainan.

Hidangan ini menggunakan tumbuhan periuk kera sebagai bekas memasak pulut dan santan, sebelum dikukus selama kira-kira 45 minit.
Bentuknya yang bulat dan lebar membantu menghasilkan tekstur serta rasa santan yang lebih sekata.

Pengusaha lemang periuk kera, Quratul Aini Othman, 22, berkata, perniagaan berkenaan bermula daripada tradisi keluarganya yang menyediakan hidangan itu setiap kali musim perayaan.
“Pada awalnya, kami hanya buat untuk keluarga. Tapi saya cadangkan kepada ibu supaya kita perkenalkan kepada orang luar sebab rasanya memang unik.
“Permintaan pada tahun pertama agak perlahan, sekitar 300 biji sahaja, namun semakin meningkat dari tahun ke tahun, terutama selepas dipromosikan di media sosial,” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh dua minggu menjelang Aidilfitri tahun ini, lebih 10,000 lemang periuk kera berjaya dijual bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Beliau berkata, lemang tersebut dijual pada harga RM25 bagi setengah kilogram dan RM45 sekilogram, dengan pendapatan harian mencecah antara RM1,500 hingga RM4,000.

Dalam pada itu, Aini mengakui cabaran utama adalah mengekalkan kualiti rasa berikutan perbezaan bekalan santan dan saiz kelongsong periuk kera yang diperoleh daripada pembekal.
“Kami pastikan hanya saiz sederhana digunakan untuk pelanggan. Jika terlalu kecil atau besar, kami akan sesuaikan atau beri tambahan supaya pelanggan tetap berpuas hati,” katanya.
Sementara itu, bapa kepada Aini, Othman Abdul Rashid, 50, yang turut membantu perniagaan berkenaan berkata, bekalan periuk kera diperoleh daripada orang asli di beberapa negeri termasuk Pahang dan Negeri Sembilan.

Jelasnya, tidak semua jenis periuk kera sesuai digunakan, sebaliknya hanya spesies tertentu dipilih bagi memastikan kualiti dan keselamatan makanan.
Mengulas persepsi segelintir pihak yang mengaitkan periuk kera dengan unsur beracun, beliau menegaskan hidangan tersebut selamat dimakan dan telah lama menjadi amalan masyarakat tertentu.
“Kalau beracun, takkan kami boleh bertahan hampir enam tahun dalam perniagaan ini. Malah, masyarakat Orang Asli sendiri menggunakan periuk kera dalam masakan mereka,” katanya.

Tambah Othman, buat masa ini mereka hanya menerima tempahan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur bagi memastikan kesegaran produk terjaga, walaupun permintaan termasuk dalam bentuk sejuk beku turut diterima. – MalaysiaGazette
















