Puspen Gambang. Gambar hiasan

KUANTAN – Tiada yang lebih menggembirakan selain dapat berkumpul dan menyambut hari raya bersama ahli keluarga tercinta di pagi 1 Syawal.

Bagaimanapun, penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Gambang, di sini yang dipanggil sebagai ‘klien’ terpaksa menahan perasaan sebak saat menyambut gema takbir hari raya tanpa keluarga di sisi.

Lebih terharu, salah seorang klien yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Kori, 52, memberitahu, air matanya pernah menitis saat melaungkan takbir raya di sini pada Aidilfitri lalu.

Bapa kepada lapan anak itu sudah tujuh bulan menggalas tugas sebagai imam serta ketua Naqib selepas dimasukkan di sini kira-kira awal tahun lepas dan dia memberitahu akan mengetuai laungan takbir raya sekali lagi esok.

Pak Kori

“Dah dua kali raya saya sambut di sini. Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha tahun lepas. Tahun ni pun saya akan takbir raya.

“Tahun lepas, setiap kali saya laungkan takbir raya tu, menitis juga air mata. Rasa sedihnya apabila berjauhan dengan keluarga, anak-anak, isteri dan mak dekat luar sana. Ayah saya dah meninggal, tapi mak masih ada dan mak saya sedang sakit kat Kelantan sana,” luahnya ketika ditemui di sini.

Ditanya jika ahli keluarga akan melawatnya ketika sesi lawatan khas Aidilfitri nanti, katanya dia sendiri tidak membenarkan mereka datang kerana dia akan selesai menjalani proses pemulihan tidak lama lagi dan akan pulang ke pangkuan keluarga.

Meskipun begitu, Pak Kori berkata, dia tetap sedih mengenangkan tidak dapat berjumpa dan bermaaf-maafan dengan dua isteri dan cucu-cucunya pada hari raya ini.

“Perasaan nak balik tu, apa orang kata, makin dekat nak balik, makin lambat rasa. Orang kata seperti menghitung hari.

“Insya Allah selepas pulang ni saya akan buat perubahan dan tak akan menghisap dadah lagi. Inipun saya rasa saya nak balik pun dah rasa malu dengan masyarakat,” katanya lagi.

Pak Kori mengakui kesilapan ketika zaman mudanya mencuba najis dadah iaitu pil kuda membawa padah apabila dia menjadi ketagihan sehingga ke usia ini.

Namun, dia sekali pun tidak meletakkan kesalahan itu atas faktor pengaruh rakan sebaya, hanya kesilapan diri sendiri yang mahu mencuba sesuatu yang baru ketika darah muda seawal umur 17 tahun.

Seorang lagi klien yang dikenali sebagai Along, 30 pula meluahkan kekesalannya terjebak dengan dadah yang mengakibatkan dia dimasukkan ke Puspen Gambang ini sejak tiga bulan lepas.

Dia memberitahu perasaan ingin tahun menyebabkan dia mencuba dadah jenis Syabu dan pil kuda sejak 10 tahun lepas dan pernah tiga kali berhenti daripada penggunaan dadah itu.

Along

“Saya tak salahkan orang lain, saya salahkan diri saya sebab saya ingin mencuba. Itu salah saya. Kemudian, selepas saya dah stabil dah okey semula, dalam 3 tahun lepas tu saya terlibat lagi kerana salah diri saya juga. Sebab tu jadi berulang-ulang kali (guna dadah).

“Bukan saya tak nak berubah, saya nak berubah. Dan saya jumpa dah tempat ni. Alhamdulillah lah mak saya hantar ke sini, mak saya lapor kepada AADK dan AADK Kuala Berang hantar saya ke sini, baru dapat membuka mata saya. Di sinilah titik mula saya nak berubah,” luahnya.

Menurut Along, dia pernah menjadi seorang imam surau dan tukang mandi jenazah di kampung halamannya di Terengganu dan pernah bekerja sebagai penebar roti canai.

Dia yang merupakan anak sulung kepada empat adik beradik menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas ayahnya meninggal dunia sejak 10 tahun lepas.

“Kalau sebut pasal keluarga, saya sebak sebab nak dekat raya ni, kebiasaan saya dengan mak saya. Saya ada adik bongsu seorang perempuan. Dia kalau nak pergi mana-mana dia akan cari saya, tu yang saya teringat sekali. Tapi nak buat macam mana.

“Kalau tak ada halangan, Insya Allah tahun depan saya keluar dari sini. Mungkin saya akan raya sekali lagi dekat sinilah,” katanya.

Along berkata, dia telah menulis sepucuk surat kepada ibunya yang berusia 51 tahun dan meluahkan kekesalan serta harapan agar dapat bertemu ahli keluarganya ketika sesi lawatan sempena Hari Raya nanti.

Paling dirindukan, kata Along ialah masakan ibu iaitu nasi minyak ayam masak merah dan kesibukan ketika membantu ibunya di dapur menyediakan tapai serta sate menjelang hari raya setiap tahun sebelum ini.

“Mak. Kalau mak baca ni, Along teringin sangat nak makan nasi minyak ayam merah mak buat. Bawalah adik datang sini. Along minta maaf banyak-banyak kepada adik beradik kerana tak dapat bersama raya tahun ni.

“Tapi insya Allah. Along akan buat yang terbaik di sini. Apabila Along bebas nanti, Along akan bagi kebahagiaan dan kemanisan kepada semua nanti. Insya Allah,” luahnya sambil mengesat air mata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast