KUALA LUMPUR – Tiga daerah di Kedah mencatatkan status gelombang haba Tahap 2 manakala 16 kawasan lain di seluruh Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1.
Menurut data Jabatan Meteorologi Malaysia yang dikemas kini pukul 6 pagi, ketiga-tiga daerah itu ialah Pokok Sena, Pendang dan Baling.
MetMalaysia memaklumkan, status Tahap 2 dicapai apabila suhu maksimum harian berada antara 37°C hingga 40°C sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Sementara itu, 16 kawasan berada pada Tahap 1 iaitu Perlis; Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah; Timur Laut dan Utara Pulau Pinang; serta Hulu Perak, Selama, Kinta dan Kuala Kangsar di Perak manakala Pahang di Jerantut dan Raub.
Status Tahap 1 pula dicapai apabila suhu maksimum harian berada antara 35°C hingga 37°C sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Bacaan suhu maksimum itu bagaimanapun tidak merekodkan Tahap 3 (gelombang haba ekstrim) iaitu suhu maksimum harian melebihi 40°C sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut. – MalaysiaGazette
















