KUALA LUMPUR – MIC akan kekal dalam Barisan Nasional (BN) buat masa ini, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan MIC akan menyertai gabungan pembangkang pada masa depan.
“Kami kekal bersama BN buat masa ini,” katanya, lapor FMT.
Ketika ditanya sama ada ini bermaksud menolak untuk menyertai Perikatan Nasional (PN), Saravanan dalam siding medianya berkata: “Tidak, saya tidak mengatakan begitu”.
Beliau berkata, perkembangan dalam PN memerlukan parti itu menilai semula pendiriannya.
Menurut Saravanan, MIC tidak pernah menolak PN secara mutlak, sambil memaklumkan perbincangan terdahulu berlaku di bawah kepimpinan yang berbeza.
Bulan lalu, Naib Presiden Pas, Ahmad Samsuri Mokhtar, dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional, menggantikan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, yang meletak jawatan pada Januari.
“PN telah melalui beberapa perubahan. Ketika kami membuat pertanyaan sebelum ini, ia dipimpin oleh Bersatu. Kini ia dipimpin oleh Pas.
“Kami bukan sahaja perlu mendapatkan pandangan akar umbi, tetapi juga perlu memahami sentimen masyarakat India sekiranya mahu menyertai gabungan yang dipimpin Pas
“Dengan perubahan kepimpinan ini, kami perlu kembali mendapatkan maklum balas akar umbi dan masyarakat India bagi memastikan sokongan sekiranya kami memutuskan untuk mengambil haluan berbeza,” kata Saravanan.
Beliau berkata, perkara itu akan dikaji semula selepas maklum balas diperoleh.
Ketika ditanya sama ada MIC akan kekal dalam BN sehingga tamat penggal Parlimen semasa, Saravanan berkata, keadaan masih boleh berubah.
“Tiada siapa tahu. Buat masa ini, status quo kekal,” katanya sambik memaklumkan MIC mengekalkan komunikasi dengan semua pihak.
Kenyataan Saravanan dibuat seminggu selepas beliau menafikan dakwaan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan bahawa MIC telah secara rasmi menyertai gabungan tersebut. – MalaysiaGazette
















