Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berucap pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke 219 Tahun 2026 di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 25 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Indeks Keamanan Global (GPI) menunjukkan Malaysia melonjak empat anak tangga pada 2025 dengan menduduki tempat ke-13 negara paling aman di dunia dan tempat kedua dalam rantau ASEAN.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, ia hasil penurunan jenayah indeks sebanyak 6.4 peratus serta peningkatan 9,000 operasi keselamatan sempadan.

“Saya yakin, kejayaan ini didorong oleh usaha bersepadu Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui agensi-agensi penguatkuasaan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Walau pun terdapat beberapa insiden mencetuskan kejutan sepanjang tempoh kajian Mac 2025 sehingga Mac 2026, namun tahap keselamatan negara masih berada dalam keadaan baik dan terkawal,” katanya berucap pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 Tahun 2026 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), di sini, hari ini.

Sebahagian anggota PDRM mengenakan revolusi uniform pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke 219 Tahun 2026 di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 25 MAC 2026.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Selain itu, katanya, kesemua kes berprofil tinggi khususnya yang menjadi tumpuan umum, telah ditangani dengan penuh kredibiliti dan akauntabiliti.

“Ia dapat ditangani tanpa mengetepikan fokus terhadap siasatan kes-kes yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, PDRM kini berada di era yang amat mencabar untuk terus kekal relevan sebagai sebuah pasukan penguat kuasa yang terulung di negara ini.

“Cabaran-cabaran yang mendatang adalah satu anjakan paradigma yang perlu ditempuh, demi memenuhi aspirasi kerajaan dan kehendak masyarakat.

“PDRM dituntut untuk melakukan pelbagai perubahan bagi memenuhi acuan dan kehendak pelbagai pihak.

“Setiap desakan, kecaman dan persepsi yang rencam daripada masyarakat tidak sesekali mengubah ketegasan PDRM dalam mempertahankan keadilan berteraskan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast