Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berucap pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke 219 Tahun 2026 di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 25 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Tragedi berdarah dengan serangan bersenjata di Balai Polis Pinggiran Subang, Selangor dan Balai Polis Ulu Tiram, Johor merupakan satu penghinaan terhadap institusi penguatkuasaan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kedua-dua insiden ini, jelas menunjukkan wujudnya pihak yang berani mencabar undang-undang dan autoriti negara.

“Peristiwa 31 Ogos 2017, seorang anggota polis telah ditembak mati di Balai Polis Pinggiran Subang, Selangor.

“Tanggal 17 Mei 2024, kejadian serangan di dalam kompaun Balai Polis Ulu Tiram, Johor sehingga mengorbankan dua anggota polis dan seorang lagi cedera parah.

“Tarikh berdarah yang amat memilukan dan terpahat kemas dalam ingatan seluruh warga pasukan PDRM dan satu penghinaan terhadap institusi penguatkuasaan,” katanya berucap pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 Tahun 2026 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayib Khan Mydin Pitchay bergambar bersama anggota PDRM yang hadir pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke 219 Tahun 2026 di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 25 MAC 2026.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Mohd Khalid berkata, kejadian tersebut menuntut pendekatan yang lebih menyeluruh dengan sokongan daripada kerajaan agar ia tidak berulang.

“Selain penambahbaikan infrastruktur di premis-premis kritikal, pindaan ke atas undang-undang sedia ada juga, perlu dilaksanakan.

“Ia supaya lebih progresif berdasarkan relevansi perundangan, seiring kompleksiti ancaman keselamatan masa kini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast