KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan lelaki yang menampar pelajar dalam satu kejadian di premis roti di Stesen LRT Pasar Seni, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 susulan penyebaran kes berkenaan secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam kejadian Selasa lalu, seorang remaja 13 tahun ditampar secara tiba-tiba oleh lelaki yang tidak dikenali kerana didakwa memotong barisan di sebuah premis.
Kejadian itu tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan orang ramai.
Sazalee dalam kenyataan awal berkata, kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu itu menyebabkan pelajar tingkatan satu terbabit mengalami kecederaan di bahagian hidung.
Katanya, kejadian berlaku apabila suspek berusia 40an menuduh mangsa memotong barisan sedangkan remaja itu adalah pelanggan pertama yang datang ke kedai berkenaan. – MalaysiaGazette
















